• Selamatkan Anwar Lebih Penting Dari Selamatkan Mangsa Banjir

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+
    Nun di utara tanah air iaitu di Pulau Pinang, penduduknya sedang berdepan dengan banjir besar. Malah lebih membimbangkan apabila Profesor Dr. Nor Azazi Zakari, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraaan dan Saliran Bandar, USM memberi amaran bahawa banjir lebih buruk berkemungkinan besar boleh melanda negeri itu.

    Sementara data di pusat pemindahan banjir di Pulau Pinang pada pagi ini (Rabu), seramai 6,000 orang terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing.

    Disebabkan keadaan yang semakin buruk ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah turun padang untuk melawat mangsa banjir dan beliau melakukannya tanpa mengira perbezaan politik. Ianya dibuat atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab.

    Semalam timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa untuk memantau perkembangan banjir di Pulau Pinang.

    Malangnya ketika pemimpin Barisan Nasional (BN) sibuk membantu mangsa banjir, kepimpinan Pakatan Harapan pula tiada di negeri itu. Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga wakil rakyat bagi Permatang Pauh pun tiada di kawasannya. Nampak sekeping gambar Wan Azizah naik bot sampai melambai lambai tangan, kemudian tidak nampak lagi kelibat Wan Azizah.

    Rupa rupanya sibuk hendak buat demonstrasi selamatkan Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur. Himpunan 1,000 hari Anwar Ibrahim dipenjara yang diadakan pada pukul 8 malam tadi. Ahli ahli parlimen pembangkang  berarak dari Parlimen ke Dataran Merdeka sambil melaungkan reformasi. Bagaimanapun menurut Keadilan Daily, perarakan itu hanya dihadiri 200 orang sahaja.

    Antara yang hadir selain Wan Azizah adalah Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen R Sivarasa, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

    Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teng Chang Khim, serta Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad serta Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar turut hadir menyatakan sokongan. Ada nampak ahli ahli parlimen ini turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang?

    Dalam erti kata lain, pemimpin PKR dan DAP ini lebih sibuk membuat demonstrasi selamatkan Anwar, yang telah disabitkan kesalahan meliwat dan dipenjarakan selama lima tahun, daripada membantu menyelamatkan rakyat yang tenggelam akibat banjir.

    Boleh pula mereka buat acara pasang lilin semalam sedangkan rakyat yang menjadi mangsa banjir duduk dalam gelap di Pulau Pinang.  Lilin itu baik pasang untuk mangsa banjir bukan untuk Anwar Ibrahim.

    Nampaknya perjuangan untuk membebaskan Anwar lebih penting daripada mangsa banjir. Mereka sibuk untuk menumbangkan BN tetapi mereka lupa pemimpin dari BN yang sedang sibuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, iaitu negeri yang ditadbir oleh DAP.

    Pemimpin DAP dan PKR  ini sibuk melaungkan kerajaan BN zalim, malangnya mereka sendiri yang menzalimi rakyat tanpa mengambil tahu dan mempedulikan masalah rakyat. 

    Dengan 365 mangsa banjir di Parlimen Permatang Pauh masih ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Guar Perahu, sewajarnya Wan Azizah berada di samping penduduk berkenaan sambil makan nasi berlampukan cahaya lilin. Bukan main lilin selamatkan Anwar di penjara.

    Kit Siang pun tidak nampak lagi turun ke Pulau Pinang, negeri yang diperintah DAP dan anaknya itu. Pengerusi Pakatah Harapan, Mahathir dan PPBM pula diam terus. Tidak mahukah blog Che Det menulis kisah banjir ini? Di Facebook Kelab Che Det pun sunyi, tidak nampak pun sekeping gambar pemimpin PPBM tolong mangsa banjir.

    Kalau hendak berdemonstrasi bukan main lagi pembangkang atur orang untuk dikerahkan ke tempat demo. Siap buat baju lagi bagi sama warna. Sanggup tidur dalam khemah untuk berdemo. Sanggup balik naik “private jet” dari luar negara untuk hadir berdemo Bersih 5 di Kuala Lumpur.

    Bila banjir melanda Pulau Pinang, negeri yang DAP menjadi kerajaan. Tidak sanggupkah naik “private jet” pergi melawat mangsa banjir? Pakatan pembangkang lebih utamakan hal menyelamatkan Anwar Ibrahim daripada selamatkan mangsa banjir. Ini bukti jelas, pembangkang bukan hendak berkhidmat kepada rakyat. Mereka hanya hendak rampas kuasa semata mata.


    Tulisan :
    Beruang Biru
    BB649, Selasa
    7 November 2017

    Subjects:

  • No Comment to " Selamatkan Anwar Lebih Penting Dari Selamatkan Mangsa Banjir "