• Selamat tinggal 2017: Zulfahmi

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Musim Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2017 sudah memasuki pusingan kemuncak di Qatar bermula esok dan bagi pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin, dia ingin menamatkan perlumbaan dengan meraih keputusan positif.

    Musim 2017 jelas tidak memihak buat bekas pelumba Moto3 itu apabila setakat 12 perlumbaan hanya mampu meraih enam mata dan kini menghuni tangga ke-34 keseluruhan.

    Pencapaiannya itu jelas berbeza berbanding musim pertamanya tahun lalu di mana dia mampu menamatkan kempen 2016 di tangga ke-11 dengan 56 mata dengan pencapaian terbaik kedua di Pusingan Keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Di Qatar tahun lalu, Zulfahmi yang bersama pasukan Orelac Racing VerdNatura meraih penamat ketujuh dan pelumba berusia 26 tahun itu seakan mengharapkan tuah memihak kepada dirinya di Sirkit Antarabangsa Losail nanti selepas menamatkan saingan di tangga ke-19 di Litar Jerez, Sepanyol, 22 Oktober lalu.

    "Saya tahu yang ini bukanlah musim yang mudah buat saya," kata Zulfahmi mengenai perlumbaan di Jerez. "Apapun, kami masih mempunyai satu lagi perlumbaan dan saya mahu menamatkan saingan dengan keputusan positif."

    Baru-baru ini, Zulfahmi yang beraksi dalam kelas Supersport itu akan 'berpisah' dengan penajanya SIC musim depan selepas melihat penurunan prestasi dari pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.

    Ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan Zulfahmi untuk musim 2018. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Selamat tinggal 2017: Zulfahmi "