• 'Selamat jalan, Puteri Tioman'

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    DUNGUN: Selepas tiga bulan menjalani rawatan akibat masalah di bahagian usus telur, 'Puteri Tioman' akhirnya dilepaskan kembali ke laut.

    Penyu agar seberat 150 kilogram (kg) diberi nama Puteri Tioman itu dilepaskan jam 6 petang semalam oleh Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Perikanan, Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Spesies Hidupan Marin Terancang (FRI) Batu Maung, Pulau Pinang, Abu Talib Ahmad, di Pantai Rantau Abang, di sini.

    Hadir sama, Pengarah FRI Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.

    Syed Abdullah berkata, penyu betina itu ditemui sekumpulan nelayan di Pulau Tioman, Pahang, Ogos lalu dalam keadaan lemah sebelum diserahkan kepada FRI Rantau Abang untuk rawatan.

    "Kita mendapat kerjasama Pegawai Perubatan Jabatan Veterinar dan pakar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

    "Ujian imbasan X-ray ke atas penyu terbabit mendapati ia menghadapi masalah untuk bertelur kerana usus di bahagian telur membengkak dan dijangkiti kuman.

    "Pemeriksaan lanjut turut menemui tali dan sisa plastik serta gabus dalam najis penyu terbabit," katanya.

    Beliau berkata, penyu terbabit dirawat dengan diberi antibiotik bagi menghapuskan jangkitan kuman dan diberi pelbagai vitamin.

    "Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu, Puteri Tioman kembali pulih dan dapat bertelur dengan mengeluarkan 15 biji telur.

    "Dia sudah sihat sepenuhnya dan kita melepaskan Puteri Tioman serta anak penyu itu ke laut," katanya.

    Sementara itu Syed Abdullah berkata, pihaknya bercadang mendapatkan anak penyu belimbing dari Sri Lanka, India, sebagai usaha mengembalikan pendaratan penyu belimbing ke negara ini.

    "Cadangan sudah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kita tunggu keputusan selanjutnya," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Selamat jalan, Puteri Tioman' "