• Sekurang-Kurangnya 50 Maut Serangan Di Syria

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    BEIRUT: Puluhan penduduk awam maut dalam bedilan artileri dan pengeboman dilakukan Russia di dua kem dan wilayah sekitarnya di timur Syria, kata pemerhati hari ini.

    Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, pengeboman berterusan di wilayah Deir Ezzor mengorbankan 50 penduduk awam, termasuk 20 kanak-kanak, sejak lewat malam kelmarin.

    Angka baru itu hampir dua kali ganda kiraan badan pemerhati beribu pejabat di Britain itu semalam yang menyatakan 26 terbunuh.

    Pengeboman mensasarkan wilayah sepanjang Sungai Furat, selain kampung dan kem dipenuhi penduduk yang melarikan diri daripada peperangan di bandar Albu Kamal di sempadan.

    Tentera rejim disokong Russia dan militia yang bersekutu dengannya merampas Albu Kamal daripada militan Daesh Khamis lalu tetapi ia berjaya menawan semula bandar itu lewat semalam.

    Hari ini, serangan udara Russia di dua lintasan sungai sepanjang Furat mengorbankan 11 penduduk awam, menurut ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

    "Lima penduduk awam, termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan di lintasan Al-Soussa kira-kira lima kilometer ke timur Albul Kamal.

    "Enam lagi penduduk awam maut dalam serangan di satu lagi lintasan, 20 kilometer ke utara bandar itu," katanya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Sekurang-Kurangnya 50 Maut Serangan Di Syria "