• Sektor Awam Di Landasan Betul Bebas Rasuah Menjelang 2020

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Perkhidmatan awam berada pada landasan betul untuk mencapai status bebas rasuah dan salah guna kuasa menjelang tahun 2020, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

    Beliau berkata penguatkuasaan agresif serta program kesedaran dan pencegahan rasuah yang dilaksanakan SPRM untuk memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak menjadi satu budaya, dalam kalangan penjawat awam.

    Selain itu, beliau berkata lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu lagi komitmen yang ditunjukkan kementerian, jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan menjauhi rasuah.

    “Pada tahun ini, SPRM menyasarkan seluruh kementerian, jabatan dan agensi peringkat persekutuan dan negeri akan menandatangani IBR sebelum akhir tahun ini.

    “Komitmen semua pihak termasuk menteri-menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan juga ketua-ketua setiausaha kementerian untuk memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa, saya yakin menjelang tahun 2020, penjawat awam dalam negara akan bersih daripada gejalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media di sini.

    Sebelum itu, Dzulkifli menghadiri majlis menandatangani IBR Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Wisma Sumber Asli di sini hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    IBR merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan SPRM yang menekankan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti sebagai individu bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dalam sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

    Sehingga 7 Nov, sebanyak 666 organisasi menandatangani IBR, termasuk 22 kementerian, jabatan (381) dan badan berkanun (86).

    Dzulkifli berkata NRE merupakan antara kementerian yang menunjukkan prestasi terbaik atau paling kurang isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan kajian dan juga mengambil kira laporan Jabatan Audit Negara.

    Pada majlis itu, Wan Junaidi melancarkan Buku Pelan Pengurusan Risiko Rasuah NRE. Ia merupakan satu inisiatif NRE memperkukuhkan tadbir urus baik yang seterusnya membolehkan penutupan ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam organisasi kementerian, jabatan dan agensi di bawah NRE.

    Dzulkifli menyambut baik usaha NRE untuk melancarkan Buku Pelan Pengurusan Risiko Rasuah berkata inisiatif NRE menunjukkan komitmen dan kesungguhan kementerian itu menangani rasuah dan salah guna kuasa.

    Sementara itu, ditanya berhubung isu pelantikan Nuemera Sdn Bhd, sebuah syarikat yang melaksanakan skim Sekatan Perkhidmatan Selular Awam (PCBS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dzulkifli menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu untuk tampil membuat laporan SPRM.

    “Setakat ini, kami belum menerima apa-apa laporan. Kalua ada laporan dibuat, kami akan meneliti laporan tersebut sama ada mempunyai asas untuk membuka kertas siasatan atau tidak. Kami mengalu-alukan mereka yang terlibat dan kalau mempunyai alasan kukuh untuk tampil membuat laporan.

    “Kami melihat perkara ini secara serius,” katanya apabila ditanya sama ada SPRM menyiasat syarikat swasta tersebut yang menyediakan perkhidmatan PCBS.

    PCBS ialah perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan bagi menyekat telefon bimbit yang hilang atau dicuri daripada mengakses semua rangkaian selular di Malaysia.

    Adalah dilaporkan bahawa syarikat tersebut dipercayai merupakan syarikat yang membocorkan data peribadi pelanggan telefon mudah alih negara baru-baru ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sektor Awam Di Landasan Betul Bebas Rasuah Menjelang 2020 "