• Sekatan ke luar negara atas pelbagai kesalahan

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    SEPANG: Seramai 790,186 rakyat negara ini dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata lebih separuh daripadanya disebabkan masalah dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), iaitu 107,884 orang, diikuti Jabatan Insolvensi (138,028 orang) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (107,884 orang).

    Justeru, bagi mengelakkan masalah senarai hitam memberi kesan kepada kelancaran perjalanan penumpang ke luar negara, Jabatan Imigresen menyediakan perkhidmatan Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam bagi membolehkan penumpang membuat semakan sebelum berlepas.

    "Ketika ini, Jabatan Imigresen menyediakan tiga kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk rakyat Malaysia menyemak status mereka sebelum ke luar negara.

    "Semakan sebelum daftar masuk dapat mengelakkan sebarang penangguhan masa berlepas. Jangan sampai ketika (daftar masuk) di kaunter nanti, ada yang dikenakan sekatan ke luar negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam di sini, hari ini.

    Mustafar berkata, selain mereka yang disenarai hitam, teknologi kiosk berkenaan turut mengesan masalah berkaitan pasport lain termasuk pasport dibatalkan, tamat tempoh, hilang dan sah kurang daripada enam bulan, selain pasport yang dimiliki lebih daripada satu suspek.

    Beliau berkata, kiosk berkenaan turut ditempatkan di klia2 dalam tempoh sebulan dan bercadang memperluaskannya ke lapangan terbang antarabangsa lain.

    "Kita bekerjasama baik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Majlis Operasi Penerbangan (AOC) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di lapangan terbang," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Sekatan ke luar negara atas pelbagai kesalahan "