• Sebulan Banteras Judi Dalam Talian Di KL

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim memberi tempoh sebulan bermula semalam kepada ketua polis daerah dalam bandar raya itu supaya 'membersihkan' aktiviti judi dalam talian sekali gus menjadikan ibu kota sifar judi.

    Beliau sudah mengarahkan semua ketua polis daerah terutama di lima kawasan yang sering dikaitkan dengan kegiatan perjudian untuk menutup semua premis judi dalam talian yang masih beroperasi dengan serta-merta.

    “Antara kawasan yang diberi perhatian adalah Dang Wangi, Brickfields, Sentul, Wangsa Maju dan Cheras ditumpu dalam menggembleng tenaga untuk melumpuhkan aktiviti perjudian di sekitar Kuala Lumpur ini.

    “Dalam usaha ke arah misi itu, IPK (Ibu Pejabat Kontinjen) Kuala Lumpur menubuhkan 'task force' bagi menghapuskan aktiviti perjudian terutama judi dalam talian," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), hari ini.

    Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya dilantik Ketua JSPTKL yang baru menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain.

    Zulkefly yang sebelum ini menjawat jawatan Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi) Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman menggantikan Mohd Nadzri yang bertukar ke Bukit Aman dengan jawatan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Skuad Taktikal Khas 3, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    Menurut Mazlan, setakat 18 Oktober hingga kini, sebanyak 533 premis diserbu di sekitar Kuala Lumpur sekali gus merampas RM8,178 termasuk komputer dan tablet yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi tanpa premis.

    “Polis menggunakan taktikal dan teknologi yang ada bagi mengesan individu yang menjalankan kegiatan judi 'online' (dalam talian) tanpa premis.

    “Antaranya mengesan penggunaan alat WiFi mudah alih yang digunakan untuk menjalankan kegiatan aktiviti perjudian 'online',” katanya.

    Menurut Mazlan, dia meminta masyarakat menyalurkan maklumat berhubung judi dalam talian dengan melaporkannya di balai berhampiran.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sebulan Banteras Judi Dalam Talian Di KL "