• 'Saya Tiada Masalah Sekiranya Dikecam Di Media Sosial' - KJ

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Budaya mengecam di media sosial diibaratkan sebagai 'toksik dalam talian' yang sarat dengan mesej kebencian sehingga boleh menjatuhkan seseorang.

    Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, budaya itu menjadi suatu fenomena yang muncul seperti 'tsunami' sehingga sukar bagi pihak yang menjadi mangsa kecaman untuk menepis kecaman yang tular di media sosial.

    Katanya, budaya itu merupakan satu daripada lima cabaran yang melanda generasi muda ketika ini, dan ia umpama bom jangka yang akan meletus pada bila-bila masa sahaja sekiranya tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab, terutama ibu bapa.

    "Sudah tiba masanya kita wujudkan 'ruang selamat dalam talian' kerana sekarang ini terlalu banyak mesej negatif di media sosial. Kita sudah tidak memikirkan perasaan orang lain.

    "Saya tiada masalah sekiranya dikecam di media sosial tapi bagaimana dengan orang lain? Adakah mereka tahu bagaimana mengatasinya?" katanya selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata isu penyakit sosial, gaya hidup sedentari (bermalas-malasan), ketagihan skrin dan penyakit mental turut menjadi cabaran kepada generasi muda di negara ini.

    "Kita sekarang sedang menjalankan kaji selidik dibarisi sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, neurologi, perubatan dan komunikasi bagi mencari kaedah terbaik menangani perkara ini. Seminar hari ini merupakan salah satu daripada gerak kerja kaji selidik tersebut," katanya.

    Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian, Khairy dalam nada tegas menekankan betapa seriusnya masalah kesihatan mental dengan menarik perhatian peserta bahawa satu daripada lima pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini mempunyai masalah itu ketika ini berbanding satu daripada 10 pada 2011. - BERNAMA


    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Tiada Masalah Sekiranya Dikecam Di Media Sosial' - KJ "