• Saya Boleh Menangis Tengok Ranking Malaysia - Velappan

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan mengakui dirinya berasa seperti mahu menangis sebaik sahaja mengetahui kedudukan ranking terbaharu Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-174 dunia.

    Kata Velappan, antara faktor utama yang menjadi penyebab Malaysia menghuni di kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara adalah kekurangan keberkesanan sistem yang digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak negeri mencari pemain pelapis.

    “Kita tidak boleh buat rumah daripada bumbung kerana kita perlu bermula daripada asas (tiang) iaitu pemain namun di Malaysia tiada program pembangunan pemain yang betul di mana pada era 1960-an, 1970-an dan 1980-an setiap negeri dapat menghasilkan pemain terbaik kerana mereka menganjurkan kejohanan kompetitif.

    “Sekarang benda itu tiada. Program pembangunan pemain perlu bersifat sistematik dan progresif.

    “Saya boleh menangis apabila mengetahui kedudukan ranking terbaharu Malaysia. Kita tidak layak untuk berada di kedudukan tersebut pada hari ini. Kita cuba banyak benda untuk menjadikan Malaysia sebagai No. 1 di Asia namun perkara sebaliknya pula berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Bekas pengendali skuad Harimau Malaya pada 1960-an itu turut berkata Malaysia boleh menjadi lebih baik daripada Jepun dan Korea Selatan namun FAM serta persatuan bola sepak negeri perlu bekerjasama terutamanya dalam mencari bakat baharu.

    Skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Nelo Vingada menerima tamparan hebat apabila kedudukannya dalam ranking dunia jatuh empat anak tangga ke kedudukan ke-174 dalam senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepan Antarabangsa (FIFA) semalam.

    Dalam pada itu, Velappan, yang pernah berkhidmat dengan tiga Presiden sepanjang 29 tahun menjadi Setiausaha Agung AFC dari 1978-2007 berpendapat, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah berusaha keras untuk memperbaiki landskap bola sepak negara dan menggesa semua pihak memberi sokongan kepadanya.

    “Tunku Ismail perlu mendapat sokongan daripada persatuan bola sepak negeri jika tidak beliau akan susah. Beliau wajar diberikan peluang dan beliau hanya boleh berjaya jika semua negeri memberi sokongan. Mereka (persatuan bola sepak negeri) tidak boleh berpuak-puak,” katanya.

    Dalam perkembangan berasingan, Velappan yang merupakan bekas Penolong Setiausaha FAM menyifatkan tindakan Pahang menolak untuk beraksi di pentas Piala AFC pada musim depan adalah merugikan kerana mereka berpeluang untuk menimba pengalaman daripada kejohanan tersebut.

    “Piala AFC adalah kejohanan yang berbeza. Terpulang kepada mereka (bermain atau tidak) namun Piala AFC boleh meningkatkan lagi mutu bola sepak negara. Banyak negara menyertainya dan daripada situ bola sepak kita boleh membangun malah ia juga memberi pendedahan kepada pemain tempatan terutamanya,” katanya lagi. - UtusanOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Saya Boleh Menangis Tengok Ranking Malaysia - Velappan "