• Satu Sepanyol Doakan Berizzo

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    SEVILLE: Bola sepak Sepanyol memberi sokongan kepada pengendali Sevilla, Eduardo Berizzo apabila kelab La Liga itu mengesahkan dia menghidap kanser prostat sehari selepas pasukan itu memperaga kebangkitan menakjubkan menentang Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara.

    "Pasukan perubatan Sevilla FC mengesahkan bahawa jurulatih pasukan utama, Eduardo Berizzo didiagnos dengan kanser prostat," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

    Presiden Sevilla, Jose Castro menegaskan Berizzo akan terus menjalankan tugas sebagai jurulatih selagi tanggungjawabnya tidak terjejas dengan rawatan yang bakal diterima.

    "Berizzo seorang yang kuat dan dia akan meneruskan tugasnya. Kami akan menunggu makluman mengenai rawatannya," kata Castro.

    "Kami akan sentiasa memberi sokongan dan yakin dia mampu pulih daripada penyakit itu."

    Tanda pagar AguanteToto (staystrongToto) menjadi hangat di Sepanyol yang menyaksikan pasukan seperti Real Madrid dan Barcelona serta pemain turut menghantar mesej sebagai sokongan kepada Berizzo.

    "Semoga anda kuat bos, anda berada bersama pasukan yang tidak pernah mahu mengaku kalah," kata bekas pengarah sukan Sevilla, Monchi yang menyertai Roma awal tahun lalu.

    "Kadangkala kehidupan memberi kita ujian untuk mengingatkan kita kepada perkara yang penting dalam hidup kita. Kami semua bersama anda Berizzo," kata bekas pemain Sevilla, Sergio Ramos yang kini beraksi bersama Real Madrid. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Satu Sepanyol Doakan Berizzo "