• Sasar 450 Kanak-kanak 'Dipulangkan' Kepada Keluarga

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan sasaran 450 kanak-kanak di institusi jagaan 'dikembalikan' ke pangkuan keluarga sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunannya.

    Ketika ini seramai 1,200 kanak-kanak ditempatkan di 11 pusat jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 11,000 lagi berada di lebih 200 pertubuhan swasta di seluruh negara.

    Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata usaha itu ke arah pendekatan penjagaan berasaskan keluarga (family based care) bagi menempatkan kanak-kanak dalam jagaan ibu bapa atau penjaga gantian.

    "Kajian mendapati 85 peratus kanak-kanak di bawah JKM dan rumah jagaan swasta mempunyai keluarga dan ditempatkan di situ kerana kemiskinan, keluarga tidak mampu menjaganya dan dan perebutan hak penjagaan.

    "Justeru pendekatan penjagaan berasaskan keluarga adalah proses menggantikan penempatan berterusan di institusi kebajikan (de-instutionalisation) supaya mereka dibesarkan keluarga, sempurna kasih sayang dan berada di persekitaran bahagia," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Family Based Care (Deinstitutionalisation) ke-5 di sini, hari ini.

    Persidangan bertemakan 'dari konsep kepada tindakan' dirasmikan Penaung Yayasan Orphancare, Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom dengan pengisian bengkel selama tiga hari yang dikendalikan Perunding LUMOS London, Roger Singleton.

    Yang turut hadir Pengerusi Yayasan OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Suriani Ahmad, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazaari dan Timbalan Ketua Pengarah JKM, Datuk Zulkipli Ismail.

    Rohani berkata, pendekatan 'de-instutionalisation' (DI) dilakukan di 34 negara antaranya United Kingdom, Haiti, Bulgaria, Republik Czech dan Moldova.

    "Sejak 2014 JKM bekerjasama dengan Yayasan OrphanCare berhubung konsep DI yang dilaksanakan LUMOS, organisasi berpangkalan di United Kingdom yang menjadi kepakarannya.

    "Selain itu,Yayasan OrphanCare, Yayasan Hasanah, UNICEF dan Lumos London bekerjasama melakukan kajian kes Negeri Sembilan pula adalah projek perintis untuk penjagaan berasaskan keluarga dijalankan di negara ini sebagai pendekatan holistik dan berbentuk penyelesaian," katanya.

    Sementara itu, individu bujang yang mahu mengambil anak angkat disyaratkan mempunyai perbezaan umur sekurang-kurangnya 25 tahun, jantina sama supaya mengelakkan isu berbangkit.

    "Proses pengambil anak angkat ini adalah sama seperti pasangan suami isteri cuma mereka yang memohon anak angkat ini perlu melalui proses temubual lebih teliti, proses dokumentasi mencukupi dan kemampuan.

    "Syarat perbezaan umur dan menetapkan jantina sama ini supaya mereka tidak berkahwin, malah JKM juga akan melakukan dua kali lawatan setahun supaya anak angkat itu dalam keadaan baik, tidak didera atau menjadi mangsa pemerdagangan bayi atau kanak-kanak," katanya. - BeritaHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Sasar 450 Kanak-kanak 'Dipulangkan' Kepada Keluarga "