• Saringan Kurangkan Kes Doping

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Saringan bahan terlarang yang wajib dilalui atlet negara ini berjaya mengurangkan kes doping, dengan tiga kes pada tahun ini berbanding 16 kes pada 2014.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata individu terbabit juga dikehendaki menyerahkan senarai makanan tambahan, suplemen dan ubat mereka kepada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

    Katanya, saringan diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan memastikan tiada bahan terlarang digunakan atlet sebelum dan ketika berlangsungnya mana-mana kejohanan sukan antarabangsa.

    "ADAMAS juga akan melaksanakan lebih banyak program membabitkan isu berkenaan termasuk memberi ruang kepada atlet negara berinteraksi dengan pegawai anti doping dan pemakanan bagi mengetahui secara lanjut mengenai barang terlarang.

    "Institut Sukan Negara (ISN) juga membantu ADAMAS bagi memastikan atlet menjaga tahap disiplin pemakanan.

    "Menerusi kaedah terbabit, kes doping secara tidak langsung boleh dikurangkan," katanya ketika menjawab soalan pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Khairy menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin mengetahui mekanisme dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan atlet negara bebas daripada bahan terlarang sebelum menyertai acara sukan antarabangsa.

    Selain itu, Khairy berkata program 'Real Champion' anjuran ADAMAS membabitkan atlet muda berumur 13 tahun hingga 16 tahun di sekolah sukan seluruh negara dilihat sebagai usaha awal dalam mencegah kegiatan doping.

    "Pada masa sama, mereka akan didedahkan dengan pembelajaran dalam talian.

    "Ia dijadikan platform bagi atlet untuk mendapat akses mudah belajar dan mengetahui secara lanjut mengenai bahayanya doping," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Saringan Kurangkan Kes Doping "