• Sarawak Terus Gagal Dapat Lesen Kelab FAM

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Sarawak terus gagal mendapat lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria ditetapkan iaitu kewangan walaupun telah diberikan tempoh lanjutan.

    Selain Sarawak, Felda United turut gagal mendapat lesen tersebut kerana gagal memenuhi kriteria sama.

    Tiga lagi pasukan yang sebelum ini tidak mendapat lesen kelab sudah diluluskan sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super 2018.

    Ia membabitkan Kedah, Kelantan dan Melaka United.

    Memetik laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, permohonan tiga pasukan tersebut sebelum ini ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan sebelum diluluskan oleh Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM dalam mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu.

    Bagaimanapun, lesen yang diberikan kepada tiga kelab ini hanya merupakan lesen FAM dan tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

    “Sementara dua lagi kelab iaitu Felda United dan Sarawak tidak diberi lesen selepas didapati masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun telah diberikan tempoh lanjutan.

    “Untuk makluman semua, FAM sebelum ini menerusi kenyataan media pada 7 September 2017 mengumumkan bahawa sebanyak tujuh daripada 12 kelab yang beraksi dalam Liga Super 2017 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Perak, PKNS, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team telah berjaya lulus bagi permohonan mendapatkan lesen FAM.

    “Daripada tujuh pasukan yang telah mendapat lesen dari First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM sebelum ini, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang, PKNS dan Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak,” katanya.-Sarawakiana



    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Terus Gagal Dapat Lesen Kelab FAM "