• Sarawak Sasar Keluar 60 Juta Benih Ikan, Udang

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak menyasarkan pengeluaran 60 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

    Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail, berkata ia sebahagian inisiatif memulihara ekosistem sungai, selain menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama ikan air tawar di negara ini.

    "Dalam RMK-11, kita merancang menghasilkan 60 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies, begitu juga benih udang galah, seterusnya diagihkan kepada 14 stesen pertanian di seluruh negeri untuk dilepaskan ke sungai.

    "Ia termasuk benih baung, lampam jawa, tengkadak dan beberapa lagi spesies ikan air tawar yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, mampu menjana pendapatan rakyat, khususnya nelayan sungai," katanya.

    Katanya, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak turut menjalankan kajian populasi genetik udang galah di 36 sungai di seluruh negeri ini sebelum ini.

    "Untuk 2017, program pelepasan benih ikan dilaksanakan di 21 sungai di seluruh negeri. Sehingga Jun lalu, sebanyak 636,000 benih ikan sudah dilepaskan dan sepanjang 2016, 1.24 juta benih ikan dilepaskan ke beberapa sungai," katanya.

    Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Sarawak berhasrat terus memperkasakan program pelepasan benih ikan dan udang di sungai di negeri ini bagi memastikan ekosistem sungai terpelihara.

    "Spesies ikan dan udang air tawar ini dipilih kerana tidak merosakkan persekitaran dan ekosistem sungai. Sungai dipilih pula terbabit dalam sistem 'tagang'," katanya.

    Katanya, ia membabitkan Sungai Serin di Kampung Sira, Padawan; Sungai Sunbang Babang di Saratok); Sungai Balingian, Mukah dan Sungai Sematan di Lundu. - BHOnlie
  • No Comment to " Sarawak Sasar Keluar 60 Juta Benih Ikan, Udang "