• Sarawak Minta Kurang, Hapus Cop Pasport Ke Brunei

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    LIMBANG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bersetuju mengenai pemohonan rakyat Sarawak bagi mengurangkan atau menghapuskan terus penggunaan cop passport diguna pakai melalui Miri-Sabah dan Brunei.

    Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada kunjungannya ke Sarawak dan seterusnya ke Brunei bulan depan.

    “Saya bersetuju mengenai permohonan rakyat negeri ini berhubung pengurangan cop pasport di pintu sempadan Sarawak dan Brunei.

    “Najib datang ke Sarawak dan saya memberitahu beliau untuk berunding dengan Brunei bagi mengurangkan atau menghapuskan terus penggunaan cop pasport pada perundingan Malaysia dan Brunei bulan depan,” katanya di sini semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Abang Johari berkata, keputusan mengurangkan cop pasport merupakan keputusan di bawah ketua negara (Najib).

    “Ini adalah kuasa ketua negara, saya hanya kuasa negeri sahaja, kita terpaksa berunding dengan Najib agar membawa perkara ini kepada Brunei, sama ada mengurangkan cop pasport atau menghapuskan terus cop pasport seperti diguna pakai di negara luar seperti Hungary,” katanya.

    Jelasnya, Sarawak mempunyai hubungan baik dengan negara jiran Brunei.

    Sebelum ini, pada 18 Disember 2016, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama Brunei bagi menyelesaikan isu birokrasi di sempadan.

    Kajian dilakukan bertujuan mendapatkan kaedah bagi mempermudah perjalanan darat tanpa semakan pasport.

    Laporan sebelum ini mendakwa rakyat Sarawak dan Sabah serta Brunei terpaksa melalui lapan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang ada di Sarawak, Sabah dan Brunei.

    Situasi ini menyebabkan pemilik pasport sering berulang-alik antara Sarawak, Sabah dan Brunei dicop sebanyak 16 kali. - Sarawakiana 
  • No Comment to " Sarawak Minta Kurang, Hapus Cop Pasport Ke Brunei "