• Sarawak Miliki Ramai Tenaga Kerja Muda Boleh Berbahasa Ingeris Dengan Baik

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Sarawak mempunyai ramai tenaga kerja muda yang produktif dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Malah beliau berkata, negeri ini juga mampu menyediakan pekerja muda berpendidikan, berkemahiran dan separa mahir bagi memenuhi suasana perniagaan berteknologi tinggi.

    "Sarawak mempunyai suasana kerja selamat dan bersih. Taraf kehidupan juga sudah meningkat dengan ketara sejak dua dekad lalu dan pelabur asing serta keluarga diberi jaminan kehidupan yang berkualiti tinggi.

    "Dengan semua kemudahan dan kelengkapan moden, pengunjung dari luar negara tidak akan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat serta budaya tempatan," katanya pada Majlis Pembukaan WIEF Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

    Menurutnya, Sarawak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sudah mampu meletakkan dirinya sebagai antara destinasi pelaburan menarik di rantau Asia Tenggara (ASEAN).

    "Ketika banyak negara lain di dunia berdepan ketegangan geopolitikal dan krisis kemanusiaan, Malaysia khususnya Sarawak mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian," ujarnya.

    Selain itu, katanya, Sarawak juga dikurniakan kekayaan sumber semulajadi, tanah pertanian, perikanan dan mineral.

    "Kami (Sarawak) mempunyai infrastruktur dan utiliti yang moden serta kerajaan yang efisien dan mesra perniagaan," katanya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Miliki Ramai Tenaga Kerja Muda Boleh Berbahasa Ingeris Dengan Baik "