• Sarawak Catat Penurunan Kes Kehamilan Remaja

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Menteri kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah bersyukur kerana Sarawak kini menunjukkan penurunan dalam kes kehamilan remaja.

    Menurutnya, sejak Januari hingga Jun tahun ini, sejumlah 1,135 kes kehamilan remaja direkodkan berbanding 2,481 kes direkodkan pada 2016.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, beliau berkata Sarawak merupakan negeri kedua terbanyak mencatatkan kes kehamilan remaja selepas Sabah.

    Jelas Fatimah, Sarawak masih mencatat 6.4 peratus hingga 9.9 peratus kes kehamilan remaja walaupun jumlah kes menunjukkan trend menurun selepas pihaknya menetapkan KPI supaya berlaku penurunan 10 peratus setiap tahun bagi bilangan kes remaja hamil yang direkodkan seperti yang dilaporkan akhbar tersebut.

    Beliau yang berkata demikian ketika sidang media sempena Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak Bil.3/2017 di sini semalam.

    Tambahnya, ia jelas membuktikan bahawa penubuhan Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) telah memberi impak positif dalam memastikan kes remaja hamil diurus dengan lebih berkesan serta panduan pengurusan kes remaja hamil di Sarawak akan diseragam untuk diguna pakai sebagai prosedur standard OSTPC antara agensi khususnya di peringkat bahagian, telah siap didokumen baru-baru ini.

    Sebanyak 10 Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual dijalankan, dua Program Wacana Bestari: Kehamilan Remaja dan satu program Dialog Input Komuniti Terhadap Isu Sosial: Implikasi Perkahwinan Tidak Teratur di seluruh negeri.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Catat Penurunan Kes Kehamilan Remaja "