• Sarawak Ada Bukti, Hak Berkaitan Laut dan Pesisir Pantai – Abang Jo

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+
    KUCHING: Kerajaan Sarawak mengesahkan telah memiliki dokumen yang membuktikan haknya terhadap perkara-perkara berkaitan laut dan pesisir pantai negeri ini.

    Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, usaha mendapat semula kuasa berkaitan laut negeri ini dan kawasan pesisiran pantai sejauh 12 batu nautika juga akan diteruskan mengguna fakta diperolehi Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bersama tujuh peguam yang dihantar ke London sebelum ini.

    “Semua dokumen negeri ini telah dibawa gabenor Inggeris ke London dan setelah 50 tahun dokumen itu boleh dibuka yang bukan lagi rahsia termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kita ada dokumen bahawa kita ada hak ke atas tanah dan laut negeri ini,” ujarnya dipetik Utusan Borneo

    Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersetuju dengan permintaan agar hak Sarawak dikembalikan kepada Sarawak.

    Susulan itu katanya, Perdana Menteri dan beliau telah minta jawatankuasa khas ditubuhkan.

    “Kita di Sarawak akan menghantar ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri sebagai ahli jawatankuasa Sarawak.

    “Di Kuala Lumpur juga akan ada jawatankuasa tertinggi mereka, kalau boleh Timbalan Perdana Menteri memandangkan perkara ini rumit tetapi kita mempunyai bukti kukuh dengan berteraskan undang-undang,” beliau dipetik sebagai berkata.

    Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis di Bintulu, pada Ahad. - Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Ada Bukti, Hak Berkaitan Laut dan Pesisir Pantai – Abang Jo "