• #DUNSarawak : RUU Majlis Penyelidikan Dan Pembangunan Sarawak 2017 Diluluskan

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (R&D) 2017 selepas dibahaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada mesyuarat persidangan DUN hari ini.

    Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, ordinan untuk menubuhkan R&D di Sarawak adalah bagi mengendalikan pentadbiran serta pengurusan penyelidikan dan pembangunan selain mengkoordinasi aktiviti penyelidikan negeri ini.

    “Sarawak mempunyai banyak keunikan dan kekayaan tersembunyi di dalam sumber biologi serta kepelbagaian biodiversiti yang belum diterokai dan mempunyai kemudahan penyelidikan yang terbaik,” katanya.

    Menurut beliau, dengan adanya majlis penyelidikan ini nanti akan terjalinnya kerjasama antara penyelidik tempatan dan penyelidik di luar negara untuk meningkatkan penyelidikan dalam pelbagai bidang terutamanya bidang klinikal, farmaseutikal dan biodiversiti.

    “Penubuhan majlis ini akan memastikan semua dana penyelidikan yang ada akan digunakan secara strategik untuk mencapai hasil terbaik untuk negeri ini,” ujarnya.

    Tambahnya, kesemua penyelidikan harus diselaraskan dan ditetapkan dengan betul untuk hasil yang optimum, mampan bagi mencapai matlamat pelan transformasi kepada kemajuan ekonomi Sarawak. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : RUU Majlis Penyelidikan Dan Pembangunan Sarawak 2017 Diluluskan "