• Rundingan RCEP Dilanjutkan

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijadualkan dimuktamadkan penghujung tahun ini, dijangka dilanjutkan hingga pertengahan tahun depan.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata lanjutan itu adalah disebabkan oleh kekangan masa selain banyak perkara belum dibahaskan antara negara anggota.

    Mustapa berkata, 2017 semakin menghampiri penghujungnya dan hampir mustahil untuk memuktamadkan perkara itu, manakala kerajaan perlu meninjau semula sasaran RCEP.

    "Perlu kaji semula sasaran kesimpulan RCEP untuk menjadikannya lebih realistik dengan jumlah isu yang akan dibincangkan dalam kalangan negara anggota.

    "Laporan lengkap dijangka diperoleh ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Manila pertengahan bulan ini.

    "Kita harap dapat terus membincangkan perkara ini ketika itu, terutama bagaimana kita boleh pastikan beberapa halangan dihadapi dapat dikurangkan," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konsortium Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia dan Persidangan Syarikat Peringkat Pertengahan di sini, hari ini.

    RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara anggota ASEAN dan enam negara yang mempunyai FTA dengan gagasan itu iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

    Mengulas pembangunan syarikat peringkat pertengahan (MTCs), Mustapa berkata, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada nilai eksport Malaysia.

    Beliau berkata, MTCs dijangka kekal berdaya saing dan disasar berkembang lima peratus tahun ini.

    "Tahun lalu, keseluruhan nilai eksport yang disumbangkan menerusi 152 syarikat MTCs adalah RM6.82 bilion, meningkat 10.41 peratus berbanding RM6.18 bilion direkodkan pada 2015.

    "Tahun ini, sebanyak 21 syarikat yang menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), sudah menyelesaikan program sembilan bulan MTCDP dan berada di peringkat Wave 4," katanya.

    MTCDP diadakan bagi membantu MTC meningkatkan pendapatan eksport dalam pasaran sasarannya dan menjadi lebih berdaya tahan serta berdaya saing pada peringkat serantau hingga antarabangsa.

    Mustapa berkata, prestasi perdagangan Malaysia dari Januari hingga Ogos tahun ini melonjak 22.6 peratus kepada RM1.16 trilion, berbanding tempoh sama tahun lalu manakala eksport meningkat 22.2 peratus dengan mencatat RM611.92 bilion.

    "Kementerian menjangkakan Malaysia mencapai pertumbuhan perdagangan lebih 10 peratus pada 2017 memandangkan prestasi kukuh dalam lapan bulan pertama ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rundingan RCEP Dilanjutkan "