• Rundingan Di Astana Pelengkap Rundingan Damai Syria Geneva

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    ASTANA -- Proses Rundingan Damai Astana yang ditaja Iran, Rusia dan Turki, menjadi pelengkap kepada perbincangan dan usaha Rundingan Damai Syria yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, untuk menyelesaikan krisis di Syria, kata Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Yerzhan Ashikbayev.

    Beliau berkata, rundingan edisi ketujuh yang berlangsung di Astana itu, telah membuahkan hasil termasuk keputusan untuk mewujudkan 'zon selamat' di Syria.

    "Prinsip kami sebaik menerima cadangan rundingan damai dari negara penaja, adalah untuk meredakan penderitaan orang awam.

    "Proses rundingan di Astana berjaya dalam meringankan penderitaan. Kami ulangi pendirian iaitu sejak awal matlamat rundingan adalah untuk menyokong Rundingan Geneva, berdasarkan hasrat Kazakhstan," katanya kepada media antarabangsa di luar rundingan dua hari bermula 30 Oktober.

    Sehingga kini, enam pusingan rundingan diadakan di Astana, bertujuan memulihkan keamanan dan kestabilan bagi penyelesaian politik menyeluruh di Syria.

    Wilayah zon selamat merangkumi Latakia, Homs, Aleppo dan Hama, serta bandar Idlib, zon keempat yang dimuktamadkan semasa rundingan keenam pada bulan lepas.

    Ashikbayev menambah, walaupun ada kepentingan ekonomi dan politik di bahagian tertentu di rantau Timur Tengah, Kazakhstan prihatin terhadap perkara melibatkan orang awam yang terjejas akibat 'malapetaka' buatan manusia.

    "Namun, tanpa kepentingan ekonomi mahupun politik, Kazakhstan tetap mengambil berat berkaitan keadaan keselamatan di Syria.

    "Negara kami juga senantiasa bersedia meneruskan usaha itu," katanya sambil menyatakan bahawa 'zon selamat' dilihat mengurangkan skala konflik dan menyumbang kepada peningkatan keadaan kemanusiaan di Syria.

    Mengulas lanjut, menerusi penyertaan semua pihak terlibat, termasuk pemerintah Syria dan kumpulan bersenjata, keadaan semasa di Syria sekarang sangat berbeza berbanding setahun yang lalu.

    "Ungkapan mengatakan 'usaha perdamaian yang teruk adalah lebih baik berbanding konflik'. Jadi kemajuan yang dicapai melalui Rundingan Astana tidak dapat disangkal.

    "Setahun yang lalu, kita bercakap tentang pembunuhan kejam (termasuk senjata kimia), kehancuran tapak warisan budaya di Syria.

    "Sekarang, penderitaan ribuan orang awam semakin berkurangan dan mewujudkan akses kemanusiaan, selain secara beransur-ansur membawa negara kepada penyelesaian damai serta menyediakan asas bagi rundingan masa depan di Geneva," katanya.

    Rundingan Astana melibatkan Kazakhstan, sebagai negara penganjur, pihak yang bertelagah serta pemerhati dari Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Jordan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rundingan Di Astana Pelengkap Rundingan Damai Syria Geneva "