• Roller-coaster Beranimasi Pertama Di Dunia Dilancar

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    LEGOLAND Malaysia Resort akan menjadi Legoland pertama di dunia melancarkan realiti maya (VR) roller-coaster bertemakan animasi permainan Lego pada 22 November ini.

    Pengurus Besarnya, Kurt Stocks berkata tarikan baharu itu merupakan pengubahsuaian permainan roller-coaster sedia ada dikenali sebagai Project-X kepada roller-coaster berteknologi yang lebih menarik dengan pemakaian alat pendengar.

    "Penumpang yang menaiki rel permainan ‘The Great LEGO Race (VR Coaster)’ ini akan melihat dan merasai perlumbaan dunia animasi Lego di sekeliling mereka apabila mengenakan alat pendengar ketika perjalanan unik tersebut.

    "Kos projek ini masih belum dapat diumumkan, namun yang pasti kami akan memperkenalkan lebih banyak permainan baharu di taman tema ini untuk seisi keluarga," katanya kepada pemberita melalui penterjemah di taman tema berkenaan hari ini.

    Terdahulu, 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa diberikan peluang untuk menaiki roller-coaster itu bagi mendapat gambaran dan pengalaman di belakang tabir VR Coaster.

    Turut hadir, Pengarah Pemasaran Paul Harvey, Pengarah Jualan dan Pemasaran Thila Munusamy, Ketua Projek Merlin Magic Making, Matt Philips dan Ketua Pemasaran Daphne Tan.

    Kurt berkata Legoland Malaysia Resort telah memulakan kerja pengubahsuaian itu sejak dua bulan lepas untuk merealisasikan VR Coaster dengan ketinggian 18 meter.

    Katanya projek yang menjanjikan pengalaman baharu serta menarik itu merupakan kerjasama dengan syarikat Merlin Magic Making.

    Sejak dibuka mulai 2012, Legoland Malaysia secara konsisten menambah tarikan dan pengalaman baharu kepada pelancong setiap tahun termasuk memperkenalkan Taman Tema Air, Hotel Legoland, Project-X roller-coaster, Ninja Go dan Star Wars.

    Sementara itu, wakil media tempatan, Wan Eizzul Islam, 24, berkata beliau berbangga kerana Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang melancarkan roller-coaster beranimasi.

    "Saya berasa seronok kerana menjadi antara individu pertama diberikan peluang merasai pengalaman menaiki VR Coaster yang sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak," katanya.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Roller-coaster Beranimasi Pertama Di Dunia Dilancar "