• RM1 Bilion Baik Pulih Sekolah Daif Di Sarawak Bukti Kerajaan Prihatin

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Peruntukan RM1 bilion dalam Bajet 2018 bukti kerajaan pusat mengambil peduli serta prihatin terhadap urusan membaik pulih dan membina semula sekolah daif di Sarawak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan negeri Sarawak pada mulanya bercadang menggunakan pembiayaan kewangan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) bagi tujuan tersebut terlebih dahulu namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan RM1 bilion pada pembentangan Bajet 2018 27 Oktober lalu.

    Menurutnya, perbincangan mengenai perkara tersebut antara Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memaklumkan perkara tersebut dengan membangunkan sekolah daif menerusi DBOS dalam satu mesyuarat khas bersama dengannya sebelum ini.

    "Hasil mesyuarat khas tersebut, ia dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau menunjukkan reaksi dan menyatakan ia merupakan satu cadangan 'bijak' daripada Ketua Menteri (Abang Johari) dan Kerajaan Negeri Sarawak."katanya lapor akhbar tersebut.

    Oleh itu, tempoh dua minggu telah ditetapkan kepada kerajaan negeri untuk menyiapkan kertas kerja untuk dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.-Sarawakiana
  • No Comment to " RM1 Bilion Baik Pulih Sekolah Daif Di Sarawak Bukti Kerajaan Prihatin "