• Riyadh Nafi Putera Abdulaziz Bin Fahd Terkorban

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    RIYADH – Arab Saudi menafikan laporan bahawa seorang putera raja terbunuh dalam kempen antirasuah yang dilaksanakan terhadap golongan elit negara itu.

    Ia susulan laporan bahawa Putera Abdulaziz bin Fahd, iaitu anak lelaki Allahyarham Raja Fahd, terbunuh ketika berada di dalam tahanan susulan beberapa siri tangkapan akhir minggu lalu.

    Berita itu turut viral di media sosial berikutan penyebaran #Putera Abdulaziz bin Fahd maut, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

    “Khabar angin mengenai Putera Abdulaziz bin Fahd yang tersebar di media adalah tidak benar sama sekali.

    “Beliau masih hidup dan sihat,” kata jurucakap Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan.

    Sebelum ini, puluhan tokoh, termasuk beberapa putera raja, menteri dan taikun, iaitu Al-Waleed bin Talal ditahan dalam beberapa siri tangkapan akhir minggu lalu, susulan penubuhan Suruhanjaya Antirasuah yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

    Ia disusuli dengan berita kematian Putera Mansour bin Moqren, yang terbunuh selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di sempadan Yaman. Punca kejadian itu tidak didedahkan. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Riyadh Nafi Putera Abdulaziz Bin Fahd Terkorban "