• Ringgit Lebih Kukuh Dari Dolar AS

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pagi ini menjelang pengumuman prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga oleh Bank Negara Malaysia, lewat hari ini.

    Pada 9.01 pagi, ringgit mencatat 50 mata asas lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.1700/1730 daripada 4.1750/1780 penutup Khamis.

    Peniaga berkata, sentimen belian bagi ringgit dilonjakkan oleh jangkaan pasaran bahawa prestasi ekonomi negara yang lebih baik pada suku ketiga 2017.

    Ringgit mengukuh sejak beberapa hari lalu, sebahagiannya disebabkan kelemahan dolar AS di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung rang undang-undang percukaian AS.

    Sementara itu, ringgit juga lebih kukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0768/0802 daripada 3.0769/0811 Khamis, tetapi susut berbanding yen kepada 3.6945/6982 daripada 3.6872/6908.

    Ringgit susut berbanding euro kepada 4.9164/9208 daripada 4.9156/9208 dan turun berbanding pound British kepada 5.5077/5134 berbanding 5.5031/5079. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Lebih Kukuh Dari Dolar AS "