• Ringgit Ditutup Tinggi

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila mata wang AS itu turun 0.2 peratus, berbanding kumpulan mata wang utama berikutan sentimen pasaran negatif, kata seorang peniaga.

    Pada 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.0800/0830 berbanding dolar AS daripada 4.1010/1050 pada Selasa.

    Seorang peniaga berkata, ringgit dan beberapa mata wang Asia lain diniagakan tinggi berbanding dolar AS yang terjejas berikutan pengukuhan sterling, serta kebimbangan akan kemungkinan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat tidak berfungsi, ekoran Demokrat menarik diri daripada pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

    Dilaporkan bahawa pemimpin Demokrat dalam Kongres AS tidak menghadiri mesyuarat dengan Trump semalam untuk menumpukan kepada bajet.

    Perkara ini berlaku selepas Trump dalam catatan di akaun Twitter beliau berkata, Demokrat lemah dalam isu pendatang haram dan cenderung untuk menaikkan cukai.

    "Bagaimanapun, semua pihak kini menumpukan kepada data ekonomi yang akan dikeluarkan tidak lama lagi dan juga prospek ekonomi," kata peniaga itu sambil menambah data itu akan menyediakan petunjuk bagi pasaran mata wang.

    Berbanding kumpulan mata wang utama, unit tempatan diniagakan tinggi kecuali berbanding pound British apabila ia turun kepada 5.4660/4716 daripada 5.4556/4621 pada Selasa.

    Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0330/0364 daripada 3.0493/0527 pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8409/8461 daripada 4.8761/8825.

    Unit tempatan itu meningkat berbanding yen kepada 3.6598/6629 daripada 3.6866/6906 pada Selasa. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Ditutup Tinggi "