• Ringgit catat perkembangan ketara sejak Nov 2016 - BNM

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Ringgit menyaksikan peningkatan ketara sejak November tahun lepas, yang ketika itu merupakan antara mata wang paling tidak menentu, namun kedudukannya kini semakin mengukuhkan, malah stabil, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

    "Ketidaktentuan telah menurun daripada kedudukan puncak pada 9.7 peratus kepada kira-kira 3.7 peratus pada masa ini," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia Jumaat lepas.

    Beliau berkata pengaruh aktiviti pasaran luar pesisir dan limpahan yang menjejaskan kadar tukaran ringgit sudah berkurangan, selaras dengan penurunan jumlah urus niaga yang ketara dalam pasaran hadapan tanpa serahan.

    "Sebaliknya, jumlah urus niaga tukaran asing di pasaran dalam negara dikekalkan dengan menambah baik kos transaksi serta memudahkan transaksi perniagaan untuk semua peserta pasaran," katanya.

    Muhammad berkata ringgit pada satu tahap mencerminkan asas ekonomi Malaysia, dan dibuktikan menerusi hakikat bahawa pemulihannya baru-baru ini selari dengan penyiaran data domestik yang kukuh.

    "Namun, dalam pasaran kewangan global yang didorong oleh perkembangan jangka pendek, kadar tukaran ringgit boleh menyimpang ke arah yang tidak dijangka dan mencapai tahap yang jauh daripada mencerminkan realiti ekonomi sebenar," katanya.

    "Malangnya, kebanyakan pergerakan ini bukan didorong oleh fakta, tetapi persepsi, dan dalam kes ringgit, saya mengatakannya sebagai salah faham.

    "Dalam banyak keadaan, kita cenderung dan bertindak berasaskan persepsi kepada bukti dan situasi terdahulu yang kita sudah biasa, dan bukannya mengemas kini pandangan kita dengan maklumat baharu," katanya.

    Bagi kebanyakan ahli ekonomi dan penganalisis, Malaysia adalah ekonomi yang bergantung kepada minyak dan apabila harga minyak turun, ekonomi Malaysia bermasalah.

    "Walaupun ini memang benar untuk beberapa tahun sebelum ini, hubungan mudah ini terus diandaikan tetap dan kekal," kata Muhammad.

    Sungguhpun sudah banyak perubahan struktur yang membawa kepada ekonomi Malaysia yang lebih pelbagai dan mengurangkan pergantungan kepada minyak, persepsi ini berterusan.

    "Bagi yang belum tahu, peratusan pendapatan minyak kepada pendapatan kerajaan sebanyak 41.3 peratus pada 2009 berbanding 14.6 peratus pada 2016.

    "Fakta ini seolah-olah tidak dihiraukan banyak penganalisis," katanya. -  BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit catat perkembangan ketara sejak Nov 2016 - BNM "