• Renault, Toro Rosso Masih Bergaduh

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+
    SAO PAULO: Pertikaian mengenai isu enjin antara Renault berterusan semalam apabila pasukan Toro Rosso terus berperang mulut mengenai kelemahan enjin yang dibekalkan pengeluar dari Perancis itu.

    Pertikaian secara terbuka di Litar Interlagos itu membimbangkan dan mungkin menyaksikan Red Bull yang memiliki pasukan Toro Rosso tiada sebarang enjin untuk digunakan ketika Grand Prix terakhir di Abu Dhabi, hujung bulan ini.

    Pasukan Toro Rosso menerima kejutan menerusi komen pedas bos Renault, Cyril Abiteboul, yang mempersoalkan adakah masalah enjin yang dihadapi pasukan itu ada kena mengena dengan cara mereka mengendalikan enjin berkenaan.

    Komen itu mencetus kemarahan pasukan Toro Rosso yang menuding jari ke atas kelemahan unit enjin yang dibekalkan sehingga mereka terjunam ke kedudukan keenam.

    "Kami tidak boleh melupakan bahawa mereka (Renault) bergaduh dengan Toro Rosso mengenai usaha mencapai kedudukan lebih baik untuk kategori Pengeluar," kata jurucakap Toro Rosso.

    Ketegangan itu pantas diredakan oleh penasihat Renault, Alain Prost yang menafikan wujud sebarang taktik kotor di sebalik semua pertikaian itu.

    "Kami tiada taktik kotor untuk dapatkan satu posisi," kata bekas juara dunia empat kali itu kepada Televisyen Sky Sports.

    Prost juga mengakui Renault berdepan masalah bekalan alat ganti sehingga hujung tahun ini tetapi memberi jaminan Red Bull akan tetap mendapat enjin pada Grand Prix Abu Dhabi nanti.

    Ketua pasukan Toro Rosso, Franz Tost berkata kekurangan alat ganti baharu menjadi punca masalah berlarutan apabila mereka terpaksa menggunakan alat ganti bersilih ganti antara kereta pelumba mereka.

    "Kami semua terkejut tetapi siapa yang memulakan semua hal mengarut ini? Ia bermula dengan Cyril semalam, dengan sesi interbiu bodohnya...dan kami terpaksa membuat kenyataan balas," katanya kepada Televisyen Sky Sports. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Renault, Toro Rosso Masih Bergaduh "