• Rancang Kewangan Dengan Bijak Bagi Elak Masalah 5 Tahun Pertama Perkahwinan

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    SIMUNJAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Sri Nancy Shukri menasihati pasangan yang baharu berkahwin supaya lebih bijak merancang kewangan keluarga masing-masing.

    Beliau berkata, berdasarkan kajian dijalankan, lebih 20 peratus pasangan Islam mengalami masalah kewangan dalam usia lima tahun perkahwinan terutama pasangan muda.

    Lebih memburukkan keadaan menurutnya, kebanyakannya berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga.

    "Kita tidak mahu ini berlaku kerana mereka yang berusia dalam lingkungan 30 tahun ke bawah merupakan sebahagian daripada pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

    "Bagaimana Malaysia yang kini sedang mempersiapkan diri ke arah negara maju menjelang 2020 dapat menjadikan impian itu menjadi realiti jika anak muda hari ini tidak berupaya menjadi pemimpin dalam sebuah institusi kekeluargaan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Pra Perkahwinan Daerah Simunjan di sini semalam.

    Kursus tersebut dianjurkan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Simunjan (LAKIS).

    Pada masa sama, Nancy turut berharap agar lebih banyak program memperkasa belia dan anak muda dianjurkan untuk mendedahkan ilmu berkaitan nilai murni dalam kehidupan golongan muda.

    "Mereka adalah pelapis dan bakal pemimpin masa depan. Kita mahu melahirkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan pasaran akan datang, mempunyai jati diri, nilai integriti, rohani dan spiritual yang kuat," ujarnya.

    Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris.-Sarawakiana

  • No Comment to " Rancang Kewangan Dengan Bijak Bagi Elak Masalah 5 Tahun Pertama Perkahwinan "