• Ramai Rakyat M’sia Tidak Makan Sayur, Buah

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+

    KLANG – Lebih 80 peratus rakyat Malaysia tidak memakan sayuran dan buah-buahan yang mencukupi untuk kesihatan diri dan tubuh badan.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata trend itu menunjukkan gaya pemakanan yang tidak sihat dan membimbangkan.

    “Perubahan mesti dilakukan kerana sekiranya tidak, ia akan meningkatkan risiko kita mendapat penyakit dan memberi kesan kepada sistem kesihatan secara keseluruhan,” katanya selepas merasmikan program Kem Nak Sihat Bersama Komuniti Kekal Sihat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima, di sini hari ini.

    Dr Subramaniam berkata rakyat Malaysia perlu memakan lebih banyak buah-buahan untuk membantu mengurangkan obesiti serta menghindarkan penyakit yang mempunyai kaitan dengan gaya hidup.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya menerusi Bahagian Nutrisi akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperluaskan program meningkatkan pemahaman khususnya ibu pelajar mengenai amalan penyediaan makanan sihat.

    “Kita nak beri bimbingan kepada ibu mengenai amalan pemakanan sihat kerana mereka adalah pengaruh yang cukup kuat dalam membawa perubahan yang kita harapkan. Program ini bermula awal tahun ini dan berharap dapat diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.

    Kem Nak Sihat merupakan program outreach yang dirangka khas untuk komuniti bertujuan menyampaikan mesej berkaitan cara hidup sihat. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ramai Rakyat M’sia Tidak Makan Sayur, Buah "