• Rajinikanth, Kamal Hassan temui peminat Malaysia tahun depan

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR 5 Nov. – Dua pelakon tersohor dari India, `Superstar’ Rajinikanth dan `Ulaga Nayagan’ Kamal Hassan sekali lagi bakal menemui peminat Malaysia di `Natchathira Vizha 2018’ yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 6 Januari depan.

    Acara mega gandingan dua bintang terbesar Kollywood itu dianjurkan oleh Persatuan Artis India Selatan (SIAA) dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood berkata, Nachathira Vizha 2018 turut menghimpunkan lebih 300 artis India Selatan terkemuka gabungan pelakon filem Tamil, Telugu, Malayalam; penyanyi dan pengarah muzik serta artis India tempatan Malaysia.

    Kata beliau, menerusi acara itu juga, diyakini dapat mengeratkan lagi hubungan selain mewujudkan pelbagai kerjasama dalam industri perfileman Tamil tempatan bersama negara pengeluar filem terbesar di dunia itu.

    “Nachathira Vizha 2018 bakal menghiburkan para peminat dengan persembahan nyanyian, tarian serta perlawanan selebriti kriket dan selebriti bola sepak oleh artis India dan tempatan.

    “Kami menjangkakan lebih 30,000 peminat Malaysia akan hadir memeriahkan acara selama sehari itu yang disifatkan sebagai acara India terbesar di Asia,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran tiket Nachathira Vizha 2018, semalam.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan dan Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy.

    Jelas Shahul Hameed, perancangan untuk mengadakan acara tersebut bermula sejak empat bulan lalu.

    “Pada mulanya, saya menghantar proposal menjemput SIAA untuk menganjurkan acara itu di negara ini dengan harapan sedikit sebanyak dapat mempromosi nama Malaysia di peringkat antarabangsa kerana acara ini bukan hanya dilihat sebagai hiburan semata-matanya tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negara dari segi aspek ekonomi dan pelancongan.

    “Malah, menerusi pendekatan ini juga, artis India tempatan berpeluang terlibat sama sekali gus mengorak langkah lagi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

    Tambah Shahul, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Natchathira Vizha 2018 menerusi Facebook @myeventsentertainment.

    Dalam pada itu, Presiden SIAA, Nasser berkata, pihaknya pernah menganjurkan acara seumpama ini, Nadigar Sangam Natchathira Cricket pada tahun lalu di Chennai yang mendapat sambutan luar biasa daripada lebih 50,000 peminat India menghadiri untuk menyaksikan selebriti tanahair itu.

    “Jadi, kali ini juga kami akan mengandingkan aktor-aktor terkenal seperti Surya, Vishal, Karthi, Sivakarthikeyan, Vijay Sethupathi, Aarya, Jeeva, Nayanthara, Tamanna dan Hansika serta pelakon veteran antaranya Mohal Lal, Venkatesh, Chiranjeevi, Nagarjuna dan Mammooty dalam acara itu.

    “Malah, persembahan khas enam pengarah muzik terkenal iaitu Harris Jayaraj, Anirudh Ravichandra, Srikanth Deva, GV Prakash, Tamman dan Imman bersama penyanyi utama antaranya Karthik, Haricharan, Swetha Mohan, Ranjith, Naresh Iyer, Krish, Andrea, Chinmayee turut mewarnai acara tersebut,” katanya.

    Kata beliau, tiket untuk menonton Nachathira Vizha 2018 akan dijual dengan harga antara RM10 sehingga RM30. – UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Rajinikanth, Kamal Hassan temui peminat Malaysia tahun depan "