• ‘Raja Buah’ Kaya Khasiat, Baik Untuk Kesihatan Lelaki

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    DIKENALI sebagai ‘raja buah’ oleh masyarakat di rantau Asia Tenggara, durian merupakan buah yang mendapat permintaan tinggi meskipun mencecah puluhan ringgit.

    Dalam kalangan penggemar buah-buahan tempatan, buah berkulit duri ini amat mudah untuk dicam dek kerana rupa, saiz dan baunya yang begitu menusuk kalbu.

    Bagaimanapun, siapa sangka ternyata buah ini mempunyai pelbagai khasiat dan nutrisi tersembunyi yang baik untuk kesihatan.

    Kajian mendapati terdapat banyak khasiat yang tersembunyi di sebalik kesedapan Durio Zibethinus atau lebih dikenali sebagai buah durian.

    Mengulas lanjut perkara itu, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan sangat peka akan potensi duriansebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara.

    “Kita harap akan lebih ramai petani yang akan menanam durian kerana buah ini sememangnya banyak khasiat,” ulas beliau mengenai kajian menyeluruh terhadap durian yang dibentangkan di Parlimen, baru-baru ini.

    Beliau berkata lagi, terdapat kajian yang dibuat mendapati durian juga mempunyai banyak khasiat serta nutrisi yang tersendiri.

    “Perlu lebih banyak penyelidikan dijalankan berhubung unsur-unsur afrodisiak yang terdapat dalam durian. Seperti makanan lain, durian boleh dimakan, baik dimakan tapi bersederhana lah.

    “Kawan saya beritahu ada kajian mengatakan durian ini ada unsur-unsur afrodisiak, baik untuk kesihatan lelaki, ya,” katanya dipetik mStar Online.

    Dalam pada itu, beliau berharap ada pihak yang berkaitan peka dan ambil tindakan sepatutnya berkaitan isu durian ini.

    “Terdapat pelbagai kajian yang dijalankan di beberapa negara menunjukkan durian mengandungi antioksidan yang melambatkan proses penuaan,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Shabery turut memberitahu sebenarnya bukan durian sahaja yang diletakkan bahan pengawet. Malah buah-buahan lain juga sama diletakkan bahan berkenaan.

    “Ada tindakan yang akan diambil oleh kementerian berhubung hal ini. Bukan sahaja pengawet, malah ada yang meletakkan ubat cepat masak dan sebagainya,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Raja Buah’ Kaya Khasiat, Baik Untuk Kesihatan Lelaki "