• Qualitas Mohon Maaf Insiden Dos Berlebihan

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+


    PETALING JAYA: Qualitas Medical Group memohon maaf kepada keluarga pesakit berumur 14 bulan yang didakwa diberi dos ubat batuk berlebihan di salah satu cawangan klinik mereka.

    Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Qualitas menjawab laporan media berhubung kejadian malang yang berlaku di YSL Bedok Clinic and Surgery, Singapura pada 22 November lalu.

    "Kami telah menghubungi keluarga pesakit. Pihak pengurusan Qualitas juga memohon maaf kepada keluarga itu atas kesulitan yang dihadapi," katanya.

    Menurut Qualitas, mereka menawarkan untuk membayar semua bil perubatan pesakit itu sebagai pampasan berhubung insiden.

    Ia turut menjemput mangsa ke unit pediatrik di Singapura untuk pemeriksaan susulan dan menubuhkan satu pasukan bagi memastikan prosedur keselamatan disemak semula dan dilkuatkuasakan.

    "Keutamaan Qualitas ialah untuk memberikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang mana pesakit menjadi kepentingan utama kami. Kami akan terus memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pesakit di klinik-klinik kami.

    "Kami mahu yang terbaik untuk pesakit dan berasa lega apabila bayi itu telah sembuh. Kami juga akan terus berhubung dengan ibu bapanya dan berharap pesakit sihat seperti sedia kala," ujar mereka lagi.

    The Straits Times pada 28 November lalu melaporkan kes seorang kanak-kanak diberi dos ubat batuk empat kali ganda lebih tinggi daripada dos yang bersesuaian dengan umurnya.

    Bayi berkenaan kemudiannya dikejarkan ke hospital.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Qualitas Mohon Maaf Insiden Dos Berlebihan "