• Pulau Carey 'sayap' ketiga Pelabuhan Klang

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pulau Carey akan dibangunkan sebagai bandar raya pelabuhan dan pusat industri bagi mengurangkan kesesakan trafik perdagangan di Pelabuhan Klang.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pembangunan itu adalah sebahagian daripada pelan penyuraian trafik industri perkapalan dan usaha memperkukuhkan jaringan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan 3 November lalu.

    Katanya, pembinaan Pulau Carey dijangka menampung kapasiti tambahan sebanyak 30 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki), sekali gus melonjak keupayaan Pelabuhan Klang sebagai hab logistik utama di rantau ini.

    "Sekarang ini kita ada Pelabuhan Barat dan Utara, namun kapasiti maksimum yang berupaya ditampung hanya 30 juta TEU, justeru kerajaan perlu melaksanakan projek pembesaran secepat mungkin.

    "Oleh itu, kita kenal pasti Pulau Carey sebagai lokasi strategik pelabuhan ketiga dengan kapasiti operasi maksimum 30 juta TEU yang akan mula dibina dalam tempoh terdekat.

    "Kerajaan sudah memperoleh kelulusan pembinaan dan kita kini dalam fasa perancangan pelan utama supaya Pulau Carey dibina secara menyeluruh," katanya kepada pemberita, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepemimpinan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) 2017, di sini.

    Yang turut hadir, Pengerusi PIKOM, Chin Chee Seong dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab.

    Pada majlis itu, PIKOM dan Fusionex turut menghulurkan dana RM40,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) susulan usaha membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

    Tiong Lai yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan berkata, pembangunan bandar raya pelabuhan di Pulau Carey setakat ini mencakupi kawasan seluas 5,000 ekar (2023.4 hektar) bagi menampung aliran trafik kapal dagang dari negara jiran.

    "Kita berbeza dengan Singapura kerana Malaysia mengendalikan trafik kargo dalaman, justeru pembesaran kawasan Pelabuhan Klang dijangka berupaya melonjak aliran trafik di rantau Asia.

    "Kita akan tarik kargo dari selatan Thailand dan Sumatera (Indonesia) dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai hab logistik di rantau ini," katanya.

    Mengulas insiden 12 gerabak kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergelincir, Tiong Lai berkata, trek dekat Stesen Bank Negara dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi kemalangan.

    Sehubungan itu, katanya, setiap operator kereta api diberi peringatan untuk mengurangkan halaju tren atau kargo ketika menghampiri kawasan terbabit.

    "Kita akan buat penambahbaikan menerusi pembangunan landasan kereta api elektrik berkembar untuk zon Lembah Klang dan selatan negara yang akan dilaksana dalam tempoh terdekat," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pulau Carey 'sayap' ketiga Pelabuhan Klang "