• Proton R3 Raih Gelaran Ketiga S1K

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    SEPANG: Selepas menyepikan diri selama 15 tahun, pelumba berpengalaman Admi Shahrul Ahmad membuktikan sentuhannya masih belum berkarat apabila memenangi Kejuaraan Sepang 1,000km Endurance Race 2017 (S1K) di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi.

    Bergandingan dengan James Veerapen buat jentera Proton R3 Motorsports, mereka mengetepikan 28 pelumba lain untuk melengkapkan perlumbaan membabitkan 181 pusingan itu dengan catatan masa lapan jam 48 minit 29.268s.

    Malah, kemenangan itu menyaksikan Admi dan James berjaya melengkapkan gelaran ketiga buat Proton R3 selepas pasukan itu pernah menjuarai kelas premier Malaysia Touring Car (MTC) itu pada edisi 2014 dan 2012.

    Bagi, Admi, 46, kejayaan itu begitu manis buatnya selepas kali terakhir menaiki podium di Sepang pada 2001 iaitu dalam saingan berprestij 12-jam Merdeka Millennium Endurance Race (MMER).

    "Siapa sangka saya mampu memang sekali lagi di sini. Apapun kejayaan ini milik pasukan selepas bekerja keras untuknya biarpun sedikit bergelut pada awal perlumbaan," katanya yang memulakan perlumbaan di petak depan.

    Lebih manis, kedua-dua pelumba Proton R3 itu turut menafikan hajat pemenang tahun lalu Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel untuk meraih gelaran ketiga S1K selepas dia yang bergandingan dengan Keifli Othman dan Patrick Tam (jentera Honda Jazz) sekadar berpuas hati di tempat kedua buat pasukan Maxx Mayhem Nanoplus.

    Tempat ketiga pula menjadi milik Tedco Racing yang dianggotai Nick Mah, Chris O'Shannessy dan Fitra Eri selepas berdepan masalah jentera Suzuki Swift pada tujuh pusingan terakhir sekali gus terpaksa membuat hentian pit.

    Bagi kelas VIOS, ia di ungguli pasukan ST Wangan Racing dari Singapura dengan gandingan Desmond Soh, Tan Chye Heng dan Teh Kian Boon muncul juara mengatasi Darren Ong, Lin Zheng Liang dan Soh Chee Kiat di tempat kedua. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Proton R3 Raih Gelaran Ketiga S1K "