• Proton Hantar Jurutera Ke China

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Proton Holdings Berhad (Proton) telah menghantar sekumpulan jurutera dan juruteknik ke Kumpulan Zhejiang Geely Holding (Geely), China, bagi mempelajari teknologi baharu pembuatan kereta di negara itu.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kumpulan kakitangan Proton itu akan berada di China selama setahun bagi menimba ilmu menghasilkan kereta Proton bermutu tinggi.

    "Selepas setahun, mereka akan kembali semula ke negara kita. Geely memiliki kira-kira 10,000 jurutera dan setiap tahun syarikat itu memperuntukkan kira-kira RM5 bilion bagi tujuan kajian dan pembangunan.

    "Saya percaya, dengan bantuan kepakaran dimiliki Geely, Proton mampu meningkatkan jumlah pengeluaran dan menambah jumlah kereta Proton untuk eksport ke luar negara," kata Ka Chuan seperti disiarkan dalam China Press.

    Menurutnya, Geely dan Proton turut merancang mengeluarkan 400,000 kereta dalam tempoh lima tahun akan datang.

    "Semua kereta tersebut akan menggunakan jenama Proton. Daripada 400,000 kereta ini, separuh daripadanya akan dieksport ke China dan negara Asean.

    "Industri pembuatan kereta di seluruh dunia telah melangkah ke era baharu dengan menggunakan teknologi terkini. Dalam menghadapi persaingan sengit ini, negara kita juga perlu menghadapi persediaan melakukan perubahan dan pembaharuan," katanya.

    - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Proton Hantar Jurutera Ke China "