• Propaganda PBB 'Ulun UMNO' Sekadar Permainan Persepsi Yang Gagal

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    'Ulun' dalam bahasa orang Sarawak bermaksud hamba atau orang suruhan, “Ulun UMNO” bermaksud “orang suruhan UMNO”. Itulah perkataan yang sering digunakan netizen untuk menidakkan dasar kerajaan negeri yang merencana pembangunan rakyat menerusi Bajet Sarawak 2018 yang dibentang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

    Pihak yang sama melabelkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai ulun UMNO, pada masa sama turut untuk menanam sentimen kebencian terhadap politik dari Malaya. 

    Ironinya, pihak berkenaan sangat bergantung kepada parti politik dari Malaya, malah mereka tidak mampu menubuhkan parti sendiri, apatah lagi untuk meraih sokongan rakyat Sarawak yang kurang dari 3 juta.

    Jika hendak berpolitik dan mempertahankan tanah pun terpaksa bergantung kepada parti dari Malaya seperti DAP dan PKR, bagaimana mungkin kita dapat memajukan diri, bangsa dan negeri.

    Golongan tersebut mahu semua orang Sarawak meniru cara mereka yang hebat melontar cacian di media sosial tapi sekadar mampu menumpang dibawah ketiak DAP dan PKR.

    Dengan hanya memiliki kecenderungan memaki hamun di media sosial tidak akan membawa apa-apa kemajuan kepada sesiapun. Apakah rakyat Sarawak berminat untuk memperjudikan masa depan dengan mengangkat golongan seperti itu sebagai pemimpin?.

    Hakikatnya semua itu hanyalah permainan persepsi yang gagal dari golongan yang kecewa, kerana umum mengetahui betapa kerajaan negeri berusaha untuk membawa kemajuan kepada rakyat negeri ini, termasuk memastikan hak-hak negeri yang telah terhakis dapat dikembalikan dan terpelihara.

    Bermula daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bersuara menuntut hak autonomi Sarawak dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar suara Sarawak malah akan mempertahan hak Sarawak sepertimana yang Sarawak kehendaki.

    Buktinya beberapa penurunan kuasa telah kembali kepada Sarawak. Begitu juga era Abang Jo memimpin negeri, suara Sarawak terus didengari oleh Najib dan terdapat keputusan luar jangkaan telah dibuat seperti empangan Bakun kembali kepada Sarawak, DBOS wujud, PETROS ditubuhkan dan berbagai lagi.

    Apa yang menghairankan apabila Tun Mahathir disentuh sebagai punca Sarawak tidak dapat bersuara menuntut hak, ramai pula netizen Sarawak mempertahankan Mahathir sedangkan zaman Mahathir Sarawak telah di ulun selama 22 tahun.

    Tidak pula mereka ini berani mengakui yang Mahathir sebenarnya selama 22 tahun menjadikan Sarawak “Ulun”.

    Prasa “Ulun” hanyalah propaganda awal pembangkang yang bertujuan menguasai minda netizen agar terpengaruh dengan agenda membenci pemimpin kerajaan, yang kononnya sebagai senjata untuk melemahkan kerajaan Sarawak yang dipimpin parti tempatan PBB. – A Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Propaganda PBB 'Ulun UMNO' Sekadar Permainan Persepsi Yang Gagal "