• Prestasi Cemerlang Wakil Rakyat BN Pada Persidangan DUN Dipuji

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Prestasi cemerlang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru selesai Jumaat lalu mendapat pujian daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Katanya, idea bernas dikemukakan pada persidangan selama lapan hari tersebut berjaya menepis isu dibangkitkan oleh pembangkang.

    “Apa ingin saya katakan di sini ialah saya melihat prestasi jauh lebih baik daripada pembangkang dan berharap kita akan sentiasa menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada mereka pada masa-masa akan datang.

    “Pembangkang boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kita dalam BN, apabila kita bercakap tentang sesuatu perkara, kita bercakap berlandaskan kepada fakta,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata dari segi nilai intelektual, beliau rasa wakil rakyat BN lebih baik daripada pembangkang.

    “Itu sebab mengapa saya memberi pujian kepada Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC),” katanya pada malam BNBBC di sini kelmarin.

    Tambahnya lagi, berdasarkan hujah pembangkang pada persidangan DUN yang lepas, beliau berpendapat bahawa pihak pembangkang kurang memahami polisi yang dijalankan oleh kerajaan BN seperti ekonomi digital dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

    “Sebenarnya mereka terkejut apabila kita memberikan bonus sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam negeri yang akan dibayar pada Disember ini dengan peruntukan RM45 juta.

    “Pemberian insentif ini adalah sebagai tanda terima kasih kita atas usaha keras penjawat awam negeri selain meringankan beban ibu bapa membayar persekolahan anak awal tahun hadapan,” katanya.

    Pada majlis tersebut, Abang Johari turut merangsang dan menasihat semua wakil rakyat BN agar terus bekerja dan melaksanakan polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan BN.

    Katanya, dengan sokongan semua wakil rakyat BN, beliau amat berharap polisi diperkenalkannya sepanjang menjadi Ketua Menteri dapat dilaksanakan seperti perancangan.

    Sebagai contoh, Sarawak Pay yang baharu dilancarkan, Abang Jo juga berharap rakyat di luar bandar dapat membuat bayaran bil kerajaan menerusi aplikasi ini apabila infrastruktur Internet ditambahbaik.

    “Apa perlu dibuat oleh kita sekarang ini ialah terus bekerja, kita sudah ada polisi cuma Big Data sahaja belum siap sepenuhnya.

    “Saya memberi jaminan bahawa saya dapat merealisasikan semua inisiatif yang telah saya nyatakan dalam tempoh tiga atau empat bulan ini sebelum pilihan raya,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Prestasi Cemerlang Wakil Rakyat BN Pada Persidangan DUN Dipuji "