• PPBM Laku Tiga Kesalahan - ROS

    Published: Saturday, 18 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh diharamkan pendaftarannya kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti itu.

    Tiga kesalahan itu ialah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

    Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata Armada tidak sah dan tidak diiktiraf kerana ia jelas melanggar dan bertentangan dengan perlembagaan parti itu sendiri.

    "Isu Armada sangat serius dan dilihat tidak menghormati Akta Pertubuhan... Pucuk pimpinan PPBM perlu tahu bahawa perlembagaan parti itu dan juga undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang sangat serius.

    "Ini pernah terjadi pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan," katanya pada sidang media khas berhubung situasi PPBM di sini, petang tadi.

    Surayati berkata, ROS hanya mengetahui mengenai isu Armada selepas menerima aduan daripada beberapa ahli EXCO yang dipecat ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata, semakan ROS selepas menerima aduan berserta laporan polis mendapati Armada memang tidak terkandung dalam perlembagaan PPBM.

    Surayati juga berkata, ROS tidak menerima sebarang laporan berhubung mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung khas parti itu.

    Katanya, mesyuarat agung khas (EGM) yang dikatakan diadakan pada 2 November 2016 sebenarnya hanyalah mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

    "ROS meneliti minit Mesyuarat Agung Khas PPBM 2016, dan mendapati hanya 12 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang direkodkan hadir.

    "Dalam mesyuarat yang sama mereka menetapkan untuk membuat pindaan sedangkan Fasal 28 Perlembagaan PPBM menyatakan pindaan hanya boleh dibuat melalui mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas," katamya.

    Surayati berkata, ROS ada menerima permohonan PPBM untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan tetapi semakan terhadap perlembagaan parti mendapati tiada fasal atau peruntukan yang membolehkan ia menangguhkannya.

    "Kesalahan tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan ini juga sesuatu yang serius kerana telah melanggar perlembagaan parti," katanya.

    Justeru, Surayati berharap masyarakat faham mengenai peri pentingnya kepemimpinan sesebuah parti.

    Katanya, pemimpin PPBM sendiri yang melanggar perlembagaan parti apabila membenarkan Armada beroperasi sedangkan belum ada pindaan perlembagaan atau mesyuarat agung.

    "Justeru jangan memanipulasikan isu dengan menyerang dan membuat tohmahan terhadap ROS. Jika tuduhan sedemikian berterusan, ROS tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya.

    Mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Surayati berkata ROS belum menerima sebarang laporan.

    Beliau juga enggan mengulas perkembangan mengenai pendaftaran semula Pakatan Harapan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM Laku Tiga Kesalahan - ROS "