• PPBM, DAP punca daftar Pakatan Harapan terbantut - Dr Mahathir

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajuinya, punca proses mendaftarkan gabungan pembangkang di bawah nama Pakatan Harapan, masih terbantut.

    Pengerusi PPBM itu berkata, partinya gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi, manakala punca lain yang melambatkan kelulusan pendaftaran nama pakatan itu adalah disebabkan DAP.

    Beliau bagaimanapun menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwanya lewat memaklumkan perkara itu kepada mereka.

    "Kita akur dengan undang-undang. Kalau mereka (ROS) beritahu awal, kami akan melakukan seperti yang diminta bagi memastikan pendaftaran Pakatan Harapan dapat disegerakan untuk membolehkan kami bersedia hadapi pilihan raya umum (PRU)," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, di sini hari ini.

    Pertemuan itu turut disertai Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

    Dr Mahathir berkata, punca proses pendaftaran nama pakatan pembangkang diperjelaskan oleh Alwi pada pertemuan berkenaan.

    "Masalah membabitkan PPBM ialah gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), manakala DAP pula ialah isu berkaitan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

    "Kami juga minta beliau (Alwi) menyatakan jika ada syarat lain perlu dipenuhi dan dimaklumkan setakat ini, hanya dua isu itu perlu diselesaikan," katanya.

    Dr Mahathir dan rombongannya dilihat memasuki bangunan KDN pada jam 10.50 pagi sebelum keluar kira-kira 45 minit kemudian.

    Pada sidang media berasingan, Kok Wai berkata, semua laporan berkaitan keputusan pemilihan semula CEC DAP pada 12 November lalu akan disiapkan oleh firma audit bebas yang dilantik parti, Grant Thornton.

    "Semua laporan mesti disedia serta dikemukakan oleh syarikat audit dilantik DAP, mengikut kehendak ROS. Berdasarkan Akta Pendaftar Pertubuhan, kita (DAP) diberi tempoh 60 hari untuk melakukannya.

    "Saya difahamkan syarikat audit akan siapkan laporan secepat mungkin dan harap dapat selesai dalam minggu ini. Saya akan minta syarikat audit segerakan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM, DAP punca daftar Pakatan Harapan terbantut - Dr Mahathir "