• Polis tumpas dua geng samun pecah rumah

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+


    PENAMPANG - Polis berjaya menumpaskan dua geng samun pecah rumah dan mencuri motosikal di sekitar daerah ini dalam dua serbuan berasingan di sini baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, dua geng tersebut ialah Geng Saudara ialah Geng Ayah Rul.

    Katanya, ahli Geng Ayah Rul ditangkap dalam satu serbuan pada pukul 8 malam semalam.

    "Empat suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun diberkas ketika serbuan dijalankan di sebuah premis dekat sini.

    "Sementara itu, ketua Geng Ayah Rul yang berusia 32 tahun pula ditahan di Putatan," katanya.

    Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas tong gas dan bateri kenderaan lori serta kereta bernilai RM4,000.

    Rosley berkata, hasil tangkapan itu polis menyelesaikan tujuh kes samun di daerah ini.

    Dalam pada itu, berpandukan risikan sejak awal tahun ini polis turut menangkap empat ahli Geng Saudara dalam serbuan di Kampung Baru Luyang di sini pada Isnin lalu.

    Polis menemui 63 barang curi yang terdiri daripada komponen motosikal, topi keledar, dompet dan kad pengenalan mangsa dengan anggaran rampasan bernilai RM30,000.

    "Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 25 tahun mempunyai talian persaudaraan. Mereka menyasarkan motosikal untuk mendapatkan komponen.

    "Kita yakin komponen dijual untuk memenuhi permintaan pembeli pasaran gelap terutamanya pekerja dalam sektor perladangan," jelasnya.

    Kedua-dua kes disiasat mengikut Sekyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Polis tumpas dua geng samun pecah rumah "