• PM lancar buku kompilasi ucapan wasatiyyah

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan dua buku kompilasi idea dan ucapan beliau mengenai wasatiyyah di lobi Parlimen di sini, hari ini.

    Dua buku itu diterbitkan Institut Wasatiyyah, Jabatan Perdana Menteri bertajuk Fiqh Wala dan Taat: Peranan Dalam Mensejahterakan Negara dan Malaysia Bukan Negara Gagal.

    Pelancaran buku itu bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Negara Peringkat Kebangsaan Kedua dipengerusikan Najib di Parlimen.

    Mesyuarat itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Datuk Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha; Ketua-ketua Setiausaha Kementerian; Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri, dan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia Jabatan Perdana Menteri , Datuk Mohd Yusof Din.

    Mesyuarat kedua itu antara lain membentangkan Laporan Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Negara membabitkan enam strategi, iaitu pendidikan dan belia, ekonomi dan pembangunan; pentadbiran dan perundangan; perpaduan dan sosial; politik dan kenegaraan dan keselamatan dan pertahanan

    Buku Fiqh, Wala' Dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara memperhalusi satu aspek daripada fiqh kenegaraan yang jarang sekali dibicarakan.

    Buku itu mencetuskan idea yang mampu memberikan kesan positif kepada masyarakat terutama dalam merangka strategi penyelesaian terhadap isu yang menuntut perhatian dan tindakan masyarakat lantaran ledakan perubahan dunia.

    Buku itu turut mengangkat tema 'wala' dan taat dalam konteks positif bukan sekadar menjadi perkongsian ilmu, namun akhirnya mampu diterjemah menjadi pemangkin kepada usaha cerapan dan pemahaman mengenai wasatiyyah, dalam kalangan masyarakat Malaysia.

    Turut dibincangkan dalam buku ini ialah politik atau dalam bahasa Arab 'siasah' yang menuntut kepada prinsip yang menjadi tunjang utama, fundamental kepada sesebuah organisasi atau negara.

    Sementara itu, buku Malaysia Bukan Negara Gagal: Menghindari Retorik Politik Durjana menafikan sama sekali pandangan bahawa Malaysia sebuah negara gagal yang kini mengelirukan rakyat.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM lancar buku kompilasi ucapan wasatiyyah "