• PM hadir Perundingan Tahunan Malaysia-Brunei

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    BANDAR SERI BEGAWAN: Projek Lebuhraya Pan Borneo dan kerjasama dalam sektor pertahanan, pelancongan serta minyak dan gas antara isu utama dijangka diketengahkan dalam Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-21 Malaysia-Brunei, hari ini.

    Sempena Rundingan Tahunan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, di sini.

    Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani Khanizaman, berkata atur cara lawatan Perdana Menteri juga termasuk Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Sultan Hassanal Bolkiah bagi meraikan delegasi negara.

    "Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan beberapa menteri Kabinet di samping Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg," katanya kepada media Malaysia di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini, sebentar tadi.

    Ghulam Jelani berkata, Rundingan Tahunan antara Perdana Menteri dan Sultan Brunei adalah platform terpenting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

    "Ketika pertemuan itu, pemimpin kedua-dua negara akan membincangkan segala isu dua hala termasuk hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkaitan," katanya.

    Beliau berkata, dari Januari hingga Julai 2017, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan pada nilai RM2.69 bilion.

    "Lawatan Perdana Menteri ini bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama," katanya.

    Ghulam Jelani berkata, hubungan dua hala kedua-dua negara bersahabat baik itu kini pada tahap terbaik dalam semua bidang termasuk sektor pelancongan yang mana pelawat Brunei adalah kelima tertinggi berkunjung ke Malaysia pada tahun 2016.

    "Sepanjang tahun lalu, seramai 1.4 juta pelancong Brunei berkunjung ke Malaysia dan setakat Ogos tahun ini kita merekodkan kemasukan 1.1 juta pelawat dari negara ini, sekali gus hampir mencapai sasaran 1.5 juta pengunjung bagi tahun 2017," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM hadir Perundingan Tahunan Malaysia-Brunei "