• PM Dijangka Lancar Jajaran Pan Borneo Putatan-Inanam

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    PAPAR: Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan jajaran Putatan ke Inanam, Lebuhraya Pan Borneo, di Putatan, ‪pada Sabtu depan.

    Projek sepanjang 19.1 kilometer itu yang juga adalah Pakej 6 projek itu dengan kos kira-kira RM900 juta, membabitkan jajaran dari Kampung Ketiau di Putatan ke Inanam.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan perkara itu selepas melawat tapak projek Lebuhraya Pan Borneo Papar-Donggongon, di sini, hari ini.

    "Perdana Menteri akan melancarkan jajaran Putatan ke Inanam pada 18 November ini sekali gus melawat tapak projek berkenaan," katanya.

    Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Marcus Mojigoh.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah membabitkan 36 pakej dengan lima daripadanya sedang dalam pelaksanaan.

    "Dua lagi pakej iaitu Pakej 6 dan 7 sudah mendapat kelulusan dengan membabitkan jajaran Putatan-Inanam dan Inanam-Sepanggar.

    "Sebanyak 10 pakej lagi yang masih melalui proses tender. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perkembangan pelaksanaan kerja pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo ini,'' katanya.

    Terdahulu, Fadillah mengadakan lawatan ke tapak projek Pakej 5 yang membabitkan Jalan Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer.

    "Pakej ini dilancarkan Perdana Menteri pada Mei 2016 tahun lalu dan pakej itu membabitkan kerja menaiktaraf daripada pelbagai aspek termasuk menaiktaraf jalan sedia ada kepada empat lorong bagi dua hala serta pembinaan jambatan baharu Sungai Simpudu.

    ''Pembinaan untuk pakej ini bermula pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap ‪pada 15 September 2019‬. Apabila siap kelak, ia akan memendekkan masa perjalanan darat bagi pengguna perkhidmatan feri dari terminal Menumbok ke Labuan.

    ''Pakej ini juga apabila siap kelak mampu membantu meningkatkan ekonomi negeri ini khususnya di kawasan Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta menjadi pemangkin industri eko-pelancongan bagi kawasan Kimanis dan Bongawan yang kaya dengan keunikan flora dan fauna,'' katanya.

    Beliau turut mengakui bahawa pihaknya menghadapi masalah dalam pelaksanaan projek ini khususnya berkaitan dengan tanah bagaimanapun ia dapat diatasi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM Dijangka Lancar Jajaran Pan Borneo Putatan-Inanam "