• Pita data sokongan CIMB hilang akibat kecuaian kakitangan

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan wujud unsur sabotaj berkaitan kehilangan pita data sokongan CIMB Bank pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kecuaian kakitangan dikatakan punca pita data sokongan tersebut hilang.

    Katanya, pihak polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur sabotaj dalam kes tersebut.

    “Kita membuka kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu dan ada unsur kecuaian melibatkan kakitangan yang mengendalikan pita data tersebut menyebabkan pita berkenaan hilang.

    “Pihak CIMB melakukan siasatan dan kita hanya membantu. Orang awam tidak perlu khuatir akan kehilangan pita itu kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada pelanggan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Perhimpunan Pegawai Awam PDRM (PACSU) ke -11 di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

    Pada Selasa lalu, CIMB Group Holding (CIMB) mengesahkan pita data mengandungi maklumat sandaran yang dilaporkan hilang tidak mengandungi maklumat pengesahan peribadi seperti nombor PIN, kata laluan mahupun nombor CVV kad kredit pelanggan.

    Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya mendapati tiada bukti maklumat itu disalahgunakan.

    “CIMB ingin memaklumkan pita data yang mengandungi maklumat sandaran hilang dalam perjalanan ketika satu operasi rutin.

    “Sesetengah pita itu mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB Bank dan anak syarikat. Berikutan itu, siasatan menyeluruh dan terperinci dijalankan,” katanya.

    Tambahnya, pihak bank telah mengambil langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa serta melipat gandakan usaha melindungi kepentingan pelanggan. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pita data sokongan CIMB hilang akibat kecuaian kakitangan "