• Pindah Kerana Panas

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    KIRA-KIRA satu bilion penduduk muka bumi ini mungkin terpaksa meninggalkan rumah akibat pemanasan global.

    Satu kajian baharu yang dipaparkan menerusi jurnal perubatan, The Lancet menyatakan, perpindahan berskala besar disebabkan perubahan cuaca akan mencetuskan pelbagai krisis kesihatan.

    Penyelidik Kanan Unit Penyelidikan Klimatologi di Universiti Anglia Timur, Dr Clare Goodess berkata, pemanasan global akan menyebabkan perubahan terhadap cuaca, yang mana sesuatu tempat akan menerima kadar hujan lebih banyak daripada biasa atau cuaca panas lebih tinggi dan lama daripada kebiasaan.

    Memetik artikel tersebut perubahan suhu dan cuaca akan menyebabkan proses penyemaian, perladangan dan penanaman lumpuh di sesuatu kawasan.

    "Proses migrasi yang disebabkan oleh perubahan cuaca akan memberi impak ke atas kesihatan mental dan fizikal penduduk.

    "Ia akan menjejaskan kesihatan dan perkhidmatan sosial masyarakat secara langsung," katanya seperti yang dipetik menerusi The Independent, Rabu.

    Menurut kajian itu lagi, kerajaan perlu bertindak cepat menangani masalah alam sekitar sebelum ia mula mengancam nyawa masyarakat.

    Langkah mengurangkan kesan perubahan iklim perlu diambil bagi membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca.

    "Manusia boleh menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan yang kurang dramatik. Namun bukan semuanya boleh berbuat demikian.

    "Sekiranya seluruh dunia bersetuju bekerjasama untuk melaksanakan langkah pemuliharaan, kita akan dapat mengelakkan bencana pada masa akan datang," katanya lagi.

    Menurutnya lagi, kesan pencemaran udara di bandar-bandar besar United Kingdom adalah salah satu daripada kesan perubahan iklim, yang menjejaskan kesihatan dan jaringan sosial di negara tersebut.

    "Tahap pencemaran udara berbahaya disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil telah meningkat sebanyak 11.2 peratus sejak tahun 1990.

    "Pembakaran bahan api fosil ini merbahaya kepada kesihatan manusia," jelasnya lagi. - mStar 

    Subjects:

  • No Comment to " Pindah Kerana Panas "