• PETRONAS Raih Pendapatan Lebih Tinggi

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan pendapatan suku ketiga yang lebih tinggi berikutan pemulihan harga minyak mentah global, margin yang lebih kukuh, prestasi lebih baik dalam perniagaan huluan dan hiliran, serta inisiatif transformasi kumpulan yang berterusan.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pendapatan suku ketiga berakhir 30 September lalu adalah sebanyak RM53.7 bilion, naik 14 peratus berbanding suku sama, tahun lalu.

    Prestasi itu didorong oleh peningkatan purata harga yang tinggi bagi produk utama dan kesan kadar pertukaran asing.

    Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat kepada RM10 bilion daripada RM6.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh peningkatan pendapatan, selain penurunan nilai bersih aset dan kos yang lebih rendah.

    Sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, kos produk serta pelunasan Harta Minyak dan Gas.

    Pelaburan modal bagi suku dikaji adalah sebanyak RM12.5 bilion, dengan sebahagian besarnya disalurkan kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Johor.

    Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata memandangkan pemulihan sederhana bagi harga minyak serta pemacu peningkatan kecekapan masih diteruskan, pihaknya menjangkakan prestasi keseluruhan kumpulan sehingga akhir tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu.

    "Kami kekal komited dalam meningkatkan kecekapan dalam semua lapangan operasi dan akan terus memberi tumpuan pada inisiatif transformasi yang memberikan hasil ketara.

    "Kami bercadang untuk meningkatkan usaha dan memanfaatkan pemulihan yang berlaku dalam harga minyak pada masa ini bagi membolehkan PETRONAS mengakhiri tahun ini dengan kukuh," katanya.

    INFO:

    *Jumlah aset meningkat kepada RM600.3 bilion sehingga 30 September lalu berbanding RM603.4 bilion pada 31 Disember 2016 berikutan nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PETRONAS Raih Pendapatan Lebih Tinggi "