• Peserta Industri Perlu Aktif Latih Pelajar TVET

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+


    KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak mahu peserta industri bertanggungjawab secara aktif dalam melatih dan meningkatkan tahap kemahiran pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peserta industri boleh mengambil contoh program latihan perintisan yang diamalkan di Jerman.

    Katanya di Jerman, pelatih dilatih tiga hari di industri dan dua hari di pusat latihan selama tiga tahun.

    “Apa yang menarik, pembiayaan dari pihak kerajaan dalam membangunkan modal insan adalah dalam tahap yang minimum.

    “Pelatih juga menerima elaun bulanan. Peranan industri amat besar dalam membangunkan modal insan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak/Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (PPKS/i-CATS) di sini hari ini.

    Majlis konvokesyen ke-20 itu menyaksikan sejunmlah 896 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing.

    Sementara itu, Abang Johari berkata PPKS yang ditubuhkan sejak 1994 telah berjaya mendidik dan melatih seramai hampir 50,000 graduan.

    “Purata kebolehpasaran graduan juga membanggakan yang mencapai 82 peratus mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan setelah tamat latihan,” katanya. – BERNAMA
  • No Comment to " Peserta Industri Perlu Aktif Latih Pelajar TVET "