• Peruntukan RM75 Juta Untuk Program Peningkatan Pendapatan

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM75 juta untuk Program Peningkatan Pendapatan (PPP), bermatlamat membantu peserta keluar daripada belenggu kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti ekonomi.

    Timbalan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata program itu melibatkan sasaran 7,500 peserta dari luar bandar yang akan memberi tumpuan kepada usaha menambah pendapatan rakyat desa terutama dalam bidang pertanian serta rancangan ekonomi.

    "Program ini menyediakan bantuan kewangan dan (sokongan) pengurusan untuk membolehkan kumpulan sasar menjalankan projek ekonomi. Bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk infrastruktur merangkumi aset, premis, bengkel, ruang niaga, mesin, peralatan bantuan, bahan mentah, latihan, kursus kemahiran asas melalui agensi pelaksana.

    "Kadar bantuan maksimum yang diberikan di bawah PPP adalah sehingga RM10,000 bagi setiap peserta mengikut skop projek ekonomi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Abdul Rahman ingin tahu usaha kementerian itu bagi menambah pendapatan rakyat di luar bandar melalui pelbagai program pertanian serta rancangan ekonomi. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Peruntukan RM75 Juta Untuk Program Peningkatan Pendapatan "