• Perubahan Iklim Dunia ‘Menakutkan’

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    OSLO: Perubahan iklim kini berada di tahap yang amat membimbangkan dan bakal mengancam kesihatan jutaan penduduk dunia ekoran peningkatan mendadak gelombang panas, penyebaran puluhan penyakit bawaan nyamuk dan masalah kekurangan nutrisi, lapor pasukan saintis.

    Laporan terkini yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet mendedahkan, kesukaran untuk memperlahankan pemanasan global sejak 25 tahun lalu bukan sahaja mencetus bencana besar terhadap kehidupan manusia malah menjejaskan mata pencarian hampir di seluruh dunia.

    Laporan itu menyebut, tambahan 125 juta orang terdedah kepada gelombang panas setiap tahun dari 2000 hingga tahun lalu dengan warga emas paling berisiko.

    Tahap produktiviti buruh dalam kalangan pekerja ladang juga turun mendadak sebanyak 5.3 peratus sejak 2000 ekoran perubahan cuaca yang menjejaskan tenaga pekerja dengan kesan ketara dapat dilihat di India dan Brazil.

    Laporan berdasarkan 40 petunjuk iklim dan kesihatan itu turut mendedahkan perubahan iklim telah mendorong peningkatan populasi nyamuk, sekali gus memudahkan penyebaran demam denggi yang menjejaskan lebih 100 juta orang setahun.

    Bilangan penduduk yang mengalami masalah kekura­ngan nutrisi di 30 negara di seluruh Afrika dan Asia meningkat kepada 422 juta pada tahun lalu berbanding 398 juta pada 1990.

    Menurut laporan tersebut, masalah kekurangan nutrisi dikenal pasti sebagai kesan kesi­hatan terbesar akibat perubahan iklim pada abad ke-21.

    Kajian bertajuk Lancet Count­down bagaimanapun ti­dak me­nyatakan jumlah kematian akibat perubahan iklim namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 250,000 kematian tambahan setahun antara 2030 dan 2050 akibat gejala tersebut.

    “Gejala-gejala perubahan ik­lim pada kehidupan manusia adalah sangat jelas dan berkemungkinan besar tidak dapat dipulihkan,” jelas laporan tersebut yang disusun oleh 24 kumpulan pakar termasuk universiti, Bank Dunia dan WHO.

    Kebanyakan negara kini berusaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka di bawah Perjanjian Iklim Paris 2015.

    “Laporan ini adalah amaran besar yang tidak boleh diendahkan. Impak buruk perubahan iklim sedang berlaku dan amat dikhuatiri akan terus berpanjang,” kata Ketua Dewan Penasihat Peringkat Tinggi Lancet Countdown, Christiana Figueres.

    – REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Perubahan Iklim Dunia ‘Menakutkan’ "